Ekonomipilihan

Shell berbincang dengan Aramco untuk jual operasi stesen minyak di Malaysia

SYARIKAT gergasi tenaga, Shell dikatakan sedang dalam perbincangan untuk menjual stesen minyaknya di Malaysia kepada konglomerat minyak dan gas milik Arab Saudi Saudi, Aramco, menurut satu laporan.

Memetik leporan Reuters yang memetik dua sumber industri, perjanjian itu mungkin bernilai antara RM4 bilion dan RM5 bilion (antara AS$844 juta dan AS$1.06 bilion).

Satu lagi sumber berkata, perbincangan antara Shell dan Saudi Aramco bermula akhir tahun lalu dan perjanjian itu boleh dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang, kata laporan itu.

Ini dikatakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memfokuskan operasi Shell kepada perniagaannya yang paling menguntungkan, dengan syarikat itu dilaporkan berkata sedang mencari jalan untuk melepaskan perniagaan 500 stesen minyak tahun ini dan pada 2025.

Shell juga sedang menjual kemudahan penapisan dan petrokimianya di Singapura.

Reuters melaporkan bahawa Saudi Aramco enggan mengulas ketika dihubungi.

Shell juga enggan mengulas mengenai rundingan yang dikatakan itu, tetapi berkata Malaysia masih “penting” kepada syarikat itu.

Shell memiliki kira-kira 950 stesen minyak di Malaysia, dengan hanya Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang mengendalikan rangkaian yang lebih luas.

Ia juga menjual pelincir industri dan menghasilkan minyak mentah dan gas asli di luar pantai Sabah dan Sarawak.

Syarikat itu juga merupakan rakan kongsi dalam usaha sama dalam projek gas asli cecair. – SM

(Visited 54 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button