Nasionalpilihan

Diplomasi orang utan bagi buktikan kepada dunia Malaysia jaga alam sekitar

Malaysia berhasrat untuk mewujudkan ‘diplomasi orang utan’ bagi menunjukkan kepada masyarakat global bahawa negara ini sentiasa menjaga keseimbangan antara antara memenuhi keperluan keselamatan makanan sambil menjaga alam sekitar.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, negara ini boleh mencontohi  China yang telah berjaya mewujudkan pelbagai ‘diplomasi panda’ kepada negara-negara di dunia.

“Banyak rakan dagangan dunia semakin bimbang tentang kesan komoditi pertanian terhadap iklim, Malaysia boleh membuktikan kepada masyarakat global bahawa kita sentiasa menjaga keseimbangan antara memenuhi keperluan keselamatan makanan sambil menjaga alam sekitar.

“Ia merupakan satu strategi diplomasi, di mana kita akan menjadikannya hadiah kepada rakan dagangan serta hubungan negara luar terutama di negara pengimport utama seperti Kesatuan Eropah, India dan China.

“Dengan memperkenalkan ‘diplomasi orang utan’, ia secara langsung membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia sentiasa komited terhadap pemuliharaan biodiversiti,” katanya ketika merasmikan Forum Biodiversiti di Genting Highland.

Menurut beliau Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan defensif terhadap soal minyak sawit, sebaliknya kita perlu menunjukkan kepada negara-negara dunia bahawa Malaysia merupakan pengeluar sawit yang mampan dan komited menjaga hutan serta kelestarian alam.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan syarikat besar sawit untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjaga, memelihara serta memberi kesedaran kepada rakan global kita di samping menyediakan kepakaran teknikal mengenai spesies hidupan liar yang ikonik di Malaysia.

“Ini akan menjadi manifestasi bagaimana Malaysia memelihara spesies hidupan liar dan mengekalkan kemampanan hutan kita terutamanya di dalam landskap perladangan kelapa sawit.

“Tahniah kepada Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) yang bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam menganjurkan Forum Biodiversiti 2024 ini,” katanya.

(Visited 19 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button