Nasional

Ekonomi Melaka tunjuk pemulihan memberangsangkan

Ekonomi Melaka menunjukkan tanda pemulihan dengan merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bernilai RM41.8 bilion tahun lepas berbanding RM41 bilion pada tahun 2020 iaitu kenaikan sebanyak 2.0 peratus.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, berdasarkan dapatan daripada penerbitan buku KDNK mengikut negeri oleh Jabatan Kerangkaan Malaysia pada 30 Jun lalu, KDNK Melaka pada 2020 merekodkan penurunan sebanyak 5.9 peratus.

Menurutnya, ia merupakan pertumbuhan terendah dialami dalam tempoh 10 tahun sejak 2010 disebabkan penularan wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara.

“Ia memberikan implikasi penurunan ekonomi yang terbesar buat negeri ini dan juga kepada seluruh masyarakat dunia akibat Covid-19.

“Dalam usaha memulihkan semula ekonomi negeri ini kita telah membentangkan Belanjawan 2021 yang merupakan bajet pemulihan ekonomi pasca Covid-19 dengan bertemakan ‘Melaka Rumahku: Merancak Ekonomi, Membahagia Rakyat, Mengamit Dunia,” ujarnya.

Beliau berucap merasmikan Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 dan Sosio Ekonomi 2021 negeri Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Pengerusi Kanan Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Hadir sama Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, hasil dapatan Banci Malaysia 2020, Melaka merekodkan bilangan penduduk berjumlah 998,004 berbanding 790,001 pada tahun 2010 dengan kadar purata pertumbuhan penduduk tahunan 2.4 peratus dalam tempoh 10 tahun.

Selain itu katanya, negeri ini juga turut mencatatkan jumlah lelaki melebihi perempuan dengan nisbah 111 lelaki kepada setiap 100 perempuan.

“Bagi komposisi penduduk umur tua iaitu 65 tahun dan lebih di negeri ini mencatatkan 6.3 peratus berbanding 6.8 peratus di peringkat nasional. Ini bermakna Melaka masih di bawah 7.0 peratus untuk dikategorikan sebagai negeri menua,” ujarnya.

Katanya, mengikut data Jabatan Perangkaan, daerah Jasin dikategorikan dengan komposisi penduduk umur tua paling tinggi dengan 7.9 peratus berbanding beberapa daerah lain di negeri ini. – SM

(Visited 186 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button