fbpx
PolitikPRK

PRN Sabah: Jimmy Palikat penyanyi lagu Anak Kampung jadi calon bebas

Ikut jejak Abu Bakar Ellah

SUATU ketika dahulu, penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Aishah pernah menjadi calonbertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU). Tidak kiralah atas tiket apa Aishah bertanding pada waktu itu.

Hari ini, bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika penyanyi tempatan, Jimmy Palikat berhasrat untuk menjadi calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Nama Jimmy Palikat dikenali di Semenanjung menerusi lagu duet bersama kumpulan One Nation Emcees berjudul Anak Kampung. Tetapi kalau di kampung halamannya sendiri, khabarnya Jimmy Palikat ini popular orangnya.

Memang benar bahang PRN Sabah sudah mula terasa dan kesanggupan Jimmy Palikat untuk bertanding dalam PRN adalah atas tiket bebas.

Memetik laporan FMT hari ini, walaupun nama calon sudah hangat diperkatakan, sehingga kini belum dimuktamadkan oleh mana-mana parti atau gabungan selepas pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, minggu lepas (30 Julai lalu).


Hasrat Jimmy Palikat untuk bertanding dan bergelar Wakil Rakyat, kalau menang, adalah satu kejutan. Ini kerana dia bukan ahli tetapi ‘terjun’ menjadi calon.

“Ya, memang saya akui berhasrat dan berminat untuk menjadi calon pada PRN kali ini. Mungkin buat masa ini ia hanya angan-angan tetapi mana tahu, tarikh penamaan calon pun belum diumumkan,” katanya sambil menambah, jika berpeluang, dia mempertimbangkan.

Sebagai anak kampung, kata Jimmy Palikat, dia sentiasa ingin membantu masyarakat terutama yang menghadapi kesusahan.

“Saya juga pernah menjalani kehidupan susah suatu ketika dulu,. Jadi, kalau angan-angan saya ini menjadi kenyataan, pasti saya mahu membantu rakyat di kawasan ditandingi.

“Saya mahu membawa pembangunan di situ. Itu pun kalau rakyat memilih saya,” katanya sambil mendedahkan kemungkinan akan bertanding di daerah asalnya, Tambunan.

Ketika ditanya sama ada berminat jika ditawarkan menjadi calon oleh mana-mana parti yang akan bertanding kelak, Jimmy berkata, perkara itu belum terlintas di fikirannya.

“Ini kerana sekarang ini saya belum menyertai mana-mana parti politik. Oleh itu, pilihan pertama saya adalah menjadi calon bebas,” ujarnya.

Berpijak di bumi nyata, Jimmy Palikat mengakui dia faham jika ada yang akan mentertawakan hasratnya itu.

Tetapi katanya, tidak salah untuk menyimpan hasrat dan berangan-angan kerana apa yang penting, kata Jimmy Palikat lagi, jika perkara itu menjadi kenyataan, dia akan cuba meyakinkan pengundi.

Kata Jimmy Palikat dengan yakin, seterusnya dia akan membantu serta mewakili suara mereka iaitu para pengundi kerana itulah kerja seorang wakil rakyat. Bukan asyik sibuk berpolitik saja!.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) yang lalu penyanyi, pelakon dan pelawak anak tempatan, Abu Bakar Ellah atau lebih dikenali sebagai Ampal pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut sebagai calon bebas.

Bagaimanapun, seperti yang dijangka, dia tewas dalam persaingan lima penjuru di kawasan berkenaan ketika itu. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button