Politik

Maszlee perbetulkan persepsi bukan tawar jawatan Menteri

BEKAS Menteri Pendidikan ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan di bawah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,  Maszlee Malik menepis spekulasi beliau ditawarkan jawatan untuk kembali berkhidmat dalam kerajaan hari ini, Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memberi pencerahan, hantaran di Facebooknya pada Sabtu lalu yang mengatakan Perdana Menteri memintanya untuk “bersedia sahaja, cuti rehat anda akan tamat tidak lama lagi” sebenarnya disalah tafsir.

“Teguran Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah ditafsirkan sebagai tawaran jawatan oleh media dan ramai pihak.

“Terima kasih kepada semua yang berbaik sangka dan menaruh harapan. Saya tidak menyebutkan apa-apa mengenainya di dalam status tersebut,” catat Mazlee di akaun Facebook beliau.

Maszlee berkata, apa yang diperkatakan oleh Anwar merujuk supaya beliau kembali bekerja untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

Dalam pada itu, beliau juga ada menawarkan diri kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagi mengadakan lawatan ke sekolah di seluruh negara untuk bertemu guru bertujuan memberi “motivasi dan semangat”.

“Saya juga telah menawarkan diri kepada Fadlina Sidek untuk turun ke sekolah-sekolah bertemu guru untuk memberikan motivasi dan menaikkan semangat mereka terutamanya dalam usaha guru memulihkan anak-anak murid pasca Covid-19.

“Melalui jerayawara itu juga diharapkan saya akan dapat membawa inspirasi dan suara menteri pendidikan serta kerajaan kepada para guru untuk terus membangunkan pendidikan,” katanya.

Terdahulu, hantaran dimuat naik Maszlee telah mencetuskan persoalan seakan-akan memberi bayangan beliau bakal menyertai kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Dalam hantaran itu, Maszlee berkongsi petikan apa yang diperkatakan oleh Anwar Ibrahim kepadanya ketika bertemu pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

“Perdana Menteri berkata ‘bersiap sedia, cuti sabatikal anda akan berakhir dalam tempoh terdekat’,” catat Mazlee dalam hantarannya itu.

Bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu pernah dilantik sebagai Menteri Pendidikan dalam Kerajaan PH pada 2018 yang diketuai Dr Mahathir Mohamad, sebelum meletak jawatan pada Januari 2020. – SM

(Visited 174 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button