Alam Sekitar

Masyarakat perlu giat pelihara alam sekitar – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa usaha melestarikan alam sekitar perlu terus dipergiatkan oleh segenap peringkat masyarakat.

Antara usaha baru yang wajar dilaksanakan secara spesifik dengan berkesan sejak penularan Covid-19 ini adalah dengan meningkatkan kecekapan pengurusan sisa klinikal. Sebagai contoh pelitup muka terpakai yang digunakan oleh orang awam perlu dibuang dengan cermat di tong-tong sampah awam sedia ada. Manakala pelitup muka yang sama tetapi telah digunakan oleh pengendali perubatan atau pesakit di institusi kesihatan pula perlu diurus mengikut tatacara perundangan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Ia bukan terhad kepada pelitup muka sahaja, tapi termasuklah jarum suntikan, tisu dan plastik klinikal tercemar dan sebagainya. Pembuangan di merata tempat akan suatu hari nanti menimbulkan pelbagai masalah pencemaran termasuk risiko penularan penyakit.

Demikian titah perutusan Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sempena kempen ‘Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ bersempena ‘Hari Alam Sekitar Sedunia 2021’ yang disambut pada 5hb Jun setiap tahun dengan tema pada kali ini ialah ‘Pemulihan Ekosistem’.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri, Azman Shah Ismail menambah bahawa pada masa ini ada sebanyak 44 buah institusi kesihatan kerajaan dan swasta yang menjana sisa klinikal di negeri Perlis yang dipantau oleh jabatan beliau. Berdasarkan rekod sistem pengurusan buangan terjadual (ESWISS), terdapat peningkatan lebih 10% penghasilan sisa klinikal di negeri Perlis dari keadaan biasa sebelum ini yang berkemungkinan besar disebabkan oleh jumlah pesakit di klinik dan hospital yang bertambah serta kewujudan pusat-pusat vaksinasi negeri.

Menyentuh mengenai aktiviti sambutan peringkat negeri Perlis pada kali ini yang jatuh pada ketika negara masih berada dalam keadaan penutupan dan penyekatan ‘lockdown’’, Azman memaklumkan bahawa pelbagai program telah diatur dengan mengambil kira SOP serta faktor ‘kelaziman baharu’ yang dibenarkan oleh pihak berkuasa. Antaranya ialah ‘Wacana Ilmu’ melalui platform webinar bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), ‘Program Pengutipan Sisa Elektrik dan Elektronik’, ‘Kempen Penanaman Pokok Secara Individu’, ‘Kuiz Alam Sekitar melalui PerlisFM’ dan banyak lagi. Kerjasama bersama pihak institusi pendidikan dan juga industri di negeri ini juga dilaksanakan secara berterusan.


Terang beliau, ‘Kekangan bersemuka bersama orang ramai ketika ini dalam menganjurkan pelbagai program alam sekitar tidak boleh dijadikan alasan memandangkan ruang dan platform maya sentiasa terbuka luas’.

Untuk rekod, Hari Alam Sekitar Sedunia disambut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan tindakan sewajarnya oleh masyarakat dalam memelihara alam sekitar. Antara 5 masalah alam sekitar terbesar di dunia dewasa ini adalah pencemaran udara dan perubahan iklim, penebangan hutan, kepupusan spesis, kemerosotan tanah dan kepadatan penduduk. Sehingga abad ke-20, bilangan populasi manusia di seluruh dunia mencecah 1.6 bilion. Kini, jumlah tersebut meningkat kepada hampir 7.5 bilion dan dijangka mencapai hampir 10 bilion menjelang tahun 2050.

(Visited 48 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button