Politik

Masyakarat Perlu Celik Soal Undang-Undang, Tanah Serta Pewarisan – Mohamad Alias

KOTA TINGGI, 28 Feb: Peguam muda yang menjadi calon Perikatan Nasional di N37 Johor Lama, Mohamad Alias Rasman, 31, menawarkan politik khidmat meliputi aspek pendidikan, ekonomi dan sosial kepada penduduk termasuk 32, 658 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Beliau mahu membawa idea-idea baharu termasuk menerusi skop pendidikan khususnya pelaksanaan program untuk memupuk kesedaran masyarakat supaya celik soal hak dan perlindungan yang diberikan oleh undang-undang.

Katanya, DUN Johor Lama antaranya melibatkan enam kawasan Felda iaitu Air Tawar 2, Pasak, Air Tawar 3, Lok Heng Selatan, Lok Heng Barat dan Lok Heng Timur selain kampung tradisi dan taman perumahan bandar.

“Jadi, saya nampak isu-isu di Felda kebanyakan berkaitan dengan soal pewarisan, tanah serta undang-undang. Jadi, andai saya diberi kepercayaan untuk menjadi wakil rakyat di sini, saya merancang untuk melaksanakan modul pendidikan supaya warga DUN Johor Lama celik kepada undang-undang.

Seterusnya, Alias mahu membangunkan ekonomi termasuk orang muda merangkumi generasi kedua dan ketiga di Felda serta golongan muda lain di DUN Johor Lama.


“Kita akan munculkan peluang-peluang pekerjaan supaya mereka boleh bergantung kepada ekonomi dalam Felda itu sendiri khususnya menerusi kegiatan perusahaan mikro dan kecil (PMK) termasuk penghasilan makanan.

“Pada masa sama, saya mahu mewujudkan ekonomi di kawasan sekitar bandar Kota Tinggi supaya warga Felda, penduduk dari kampung tradisi dan taman perumahan boleh bekerja di bandar ini,” katanya.

Untuk meluaskan akses pemasaran, beliau mahu membangunkan fasiliti e-platform untuk pengusaha PMK bermula dengan menangani masalah jaringan Internet selain mengadakan kelas bagi memberi pendedahan mereka mengenai kaedah serta penguasaan pemasaran dalam talian dan media sosial lain.

Kegiatan pelancongan turut mendapat perhatian beliau terutama di sekitar Kampung Johor Lama yang berkaitan sejarah manakala Teluk Sengat pula tumpuan pemancing yang beriadah di rumah rakit di perairan Sungai Johor.

Dari segi sosial pula, aspirasi beliau adalah menjadikan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Johor Lama sebagai satu wadah seperti masjid yang menawarkan program berkaitan kebajilkan dan keagamaan seperti sesi tuisyen percuma, kelas agama dan mengaji berjadual serta menyediakan makanan percuma berkala.

“Ini saya sebutkan ini sebagai politik khidmat,” katanya.

Dengan latar belakang seorang peguam, beliau memang akan mendengar suara penduduk DUN Johor Lama dan kemudian mencari jalan menyelesaikan isu atau masalah mereka.

Alias turut berpegang kepada falsafah, tiada yang lama maka tiada yang baharu dan yang baharu melengkapi yang lama manakala generasi lama mendidik serta memimpin generasi bahru.

Mengenai latar belakang, beliau adalah cucu peneroka Felda Air Tawar 2 dan sinonim dengan kehidupan, cabaran serta permasalahan masyarakat peneroka.

Seterusnya, mula berjinak-jinak dengan politik pada 2008 dan terdedah kepada kegiatan pelajar ketika menuntut di Kolej Islam Kelang. Kini, beliau adalah Ketua Penerangan Armada Bahagian Kota Tinggi.

Kredit: infojohor.com.my

(Visited 114 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button