Nasional

Raja Muda Perlis saksi penyerahan peralatan PPE

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan penyerahan sumbangan sebanyak 300 set Peralatan Perlindungan Diri (PPE) merangkumi topi, tudung, jubah serta sarung kasut daripada pereka fesyen terkenal tanah air, Datuk Radzuan Radziwill kepada Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di perkarangan Sekolah Rendah Islam I, Km 3, Jalan Abi Tok Hashim, Kangar baru-baru ini.

Anakanda sulung baginda yang juga merangkap Penaung ePerlis.my, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail menyerahkan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Sirajuddin Hashim sumbangan tersebut bagi pihak Datuk Radzuan yang telah berusaha keras menyediakan PPE kepada barisan hadapan negara khususnya dan rakyat secara amnya sejak mula penularan wabak Covid-19 melanda negara ini lagi. Adalah diharap sumbangan ini akan dapat turut memanfaatkan para petugas kesihatan dalam menjalankan tugas mereka di negeri ini.

Penyerahan sumbangan hasil daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Datuk Radzuan melalui ePerlis.my dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bagi negeri Perlis tersebut juga dilaksanakakan mengambil sempena tarikh 25 Jun 2020 lalu yang merupakan ‘Sambutan Hari Ulangtahun Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang ke 16. YTF dilancarkan oleh Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid ketika baginda menjadi DYMM Raja Permaisuri Agong pada ketika itu. YTF ditubuhkan pada tahun 2004 bertujuan untuk membantu wanita muda yang sedang berusaha mencari dan meningkatkan pencapaian akademik, kegiatan luar bilik darjah serta kemasyarakatan. Yayasan yang dipengerusikan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil sejak dari awal penubuhannya itu menggunakan ‘Women in Search of Excellence’ atau ‘WISE’ sebagai motonya.

Di akhir program, Tuanku Raja Muda beserta sekalian yang hadir mengambil bahagian di dalam kayuhan berbasikal ‘MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis sejauh 12km bermula dan berakhir di sekolah berkenaan yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hj Mohd Nazim Mohd Noor bagi menyampaikan sumbangan kepada tiga buah keluarga memerlukan yang terpilih pada kali ini.

Untuk rekod, sesungguhnya para petugas kesihatan yang merawat pesakit dengan jangkitan seperti koronavirus atau Covid-19 ini amat terdedah dan berisiko untuk dijangkiti. Justeru, para pekerja kesihatan wajib menggunakan PPE untuk melindungi diri mereka daripada titisan dari batuk, bersin atau cecair badan lain daripada pesakit yang dijangkiti dan permukaan yang tercemar yang mungkin menjangkiti mereka. – SM

(Visited 503 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button