Nasional

Mangsa ribut terharu terima sumbangan MAIPs

“Alhamdulillah, syukur pihak MAIPs sudi membantu menghulurkan bantuan meringankan beban kami sekeluarga membaiki bumbung yang diterbangkan ribut,” kata mangsa di Beseri Perlis, Hafizi Ahmad, 40.

Beliau berkata, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mengambil langkah pantas apabila terus ‘turun padang’ mengadakan lawatan pada malam tadi, sejurus kejadian itu dilaporkan kepada pihak pemimpin masyarakat dan masjid berdekatan.

Tambah istimewa lagi, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, turut berkenan berangkat singgah menyampaikan sumbangan MAIPs berjumlah RM 1,000 pada petang tadi.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil selepas menghadiri satu majlis anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak jauh dari lokasi berkenaan berkenan meluangkan masa meninjau sekitar kediaman mangsa yang terjejas dalam kejadian ribut tropika yang berlaku pada kira-kira jam 6.30 petang semalam mengakibatkan kerosakan 10 buah rumah di sekitar kawasan Beseri, Kangar dan Pauh.

Sebelum itu, kejadian ribut sehari sebelumnya pada 18 September lalu turut menjejaskan 22 buah rumah di seluruh negeri Perlis.

“Saya dan keluarga terpaksa berpindah sementara keadaan rumah masih lagi tidak diperbaiki, namun amat bersyukur dan terharu sekali apabila Tuanku Raja Muda, Tuanku Raja Puan Muda dan pihak MAIPs serta para pemimpin masyarakat telah menghulurkan bantuan,” tambah beliau lagi.

Turut mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Beseri, Ruzaini Rais dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.

Mohd Nazim ketika mengulas berkata, pihak MAIPs sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Perlis, Bahagian Pentadbiran Daerah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Perlis dalam menyelaraskan maklumat bersama.

“Pihak MAIPs sedaya upaya melaksanakan tindakan sesegera mungkin bagi menyalurkan bantuan dengan kerjasama pelbagai agensi serta turut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang zakat yang bermurah hari memberikan sumbangan yang dapat dimanfaatkan,” tambah Mohd Nazim.

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button