Politik

Dakwaan RM13 juta wang MBI dipindah ke luar negara, Mukhriz gesa MB Kedah buat laporan segera

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor disaran agar segera membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan pemindahan wang berjumlah RM13 juta milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) jika dirasakan wujud unsur salah guna kuasa.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, sebagai sebuah entiti yang ditubuhkan untuk membawa pelaburan dan keuntungan kepada negeri Kedah, sudah tentu akan wujud aliran keluar masuk dana dari MBI.

Bagaimanapun, Mukhriz berkata, kenyataan yang dibuat Muhammad Sanusi dalam sidang media secara maya pada 21 dan 22 September lalu mengenai aliran keluar masuk dana itu jelas tidak konsisten dan bercanggah.

“Pada 21 September 2021 beliau menyebut wang itu dipindah ke Kanada tetapi menafikan pula perkara itu dalam sidang media pada 22 September 2021. Kesilapan atau salah kata begini bukanlah suatu yang asing bagi Menteri Besar Kedah itu,” kata bekas Menteri Besar Kedah itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Muhammad Sanusi pada 21 September lalu mendakwa, terdapat rekod membuktikan berlaku pemindahan wang milik MBI Kedah sebanyak RM13 juta yang dimasukkan ke akaun bank di luar negara.

Menurut Muhammad Sanusi, transasi itu berlaku ketika Mukhrz menerajui kerajaan negeri.

Kata beliau, pemindahan wang tersebut dilakukan ke akaun bank yang berpangkalan di Kanada.

Dalam masa sama, Mukhriz menegaskan, tindakan Muhammad Sanusi ‘menayangkan’ dokumen-dokumen dalam sidang media secara maya tempoh hari tidak sepatutnya berlaku memandangkan Menteri Besar Kedah itu seharusnya menyerahkannya kepada pihak berkuasa bagi tujuan siasatan.

Dokumen-dokumen berkenaan, jelas Mukhriz, dipercayai berkaitan pelaburan oleh MBI dalam sebuah syarikat bio-teknologi yang ketika itu terlibat dalam kajian dan pembangunan rawatan kanser.

Mukhriz juga menjelaskan, sebarang keputusan yang dibuat oleh MBI sudah semestinya mengambilkira kepentingan terbaik rakyat negeri Kedah untuk jangka masa panjang.

Bahkan, kata Mukhriz, pada keseluruhannya, pelaburan-pelaburan MBI disasarkan untuk industri berkualiti tinggi, berdaya maju dan berpotensi besar untuk mencatat keuntungan.

“Saya sama sekali tidak memperoleh sebarang keuntungan peribadi dari apa sahaja keputusan MBI.

“Saya sentiasa bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. Saya sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mahupun salah guna kuasa, jikalaupun ia wujud.

“Saya amat yakin tiada unsur-unsur tersebut dalam urus niaga MBI ketika saya berjawatan Menteri Besar Kedah,” tegas Mukhriz lagi.

Dalam kenyataan itu juga, Mukhriz menyatakan keyakinannya bahawa kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Sanusi itu bertujuan mencemar nama baik dan imej beliau tanpa membuat tuduhan khusus yang boleh mengundang tindakan saman.

“Saya tekankan di sini bahawa sebarang kenyataan daripada Menteri Besar Kedah bukanlah bersifat pendapat atau pandangan peribadi.

“Sebaliknya, Menteri Besar Kedah harus lebih bijak dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dengan usul periksa terlebih dahulu kerana kenyataan beliau membawa imej pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dalam apa jua hal dan keadaan,” tegas Mukhriz lagi.

Sehubungan itu, Mukhriz memberi peringatan bahawa beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah sewajarnya jika Menteri Besar Kedah itu berterusan membuat onar dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

(Visited 299 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button