Nasional

Tangani COVID-19 berasaskan al-Quran

Oleh Sahbulah Mohamad Darwi

Pandemik COVID-19 boleh ditangani dengan berpandukan al-Quran.

Demikian dinyatakan oleh ulama besar, Syaikh Maulana Muhammad Sa’ad al-Kandhalawi dari India yang berkata, al-Quran memberitahu bahawa bala bencana yang berlaku di darat dan laut adalah akibat perbuatan manusia.

Beliau membacakan firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rum, ayat 41 yang bermaksud: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Syaikh Maulana Muhammad Sa’ad berkata, memang tidak syak lagi bahawa segala musibah atau bala yang melanda dunia saat ini adalah natijah daripada dosa yang dilakukan oleh umat manusia.

“Dan sesungguhnya tiada asbab (sebab-sebab) yang paling berkesan untuk menghindarkan bala yang sedang melanda dunia saat ini selain memperbanyakkan doa, taubat, istighfar dan tawajjuh kepada Allah ta’ala,” katanya ketika mengulas mengenai pandemik COVID-19, baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam situasi wabak ini, lakukanlah ibadah secara infradi (iaitu melakukan sendirian bersama keluarga iaitu tidak berjemaah di masjid) dan juga mengambil berat akan dakwah dan taklim (belajar dan mengajar ilmu agama) di rumah masing-masing.

“Ini adalah cara atau kaedah yang asal dalam ikhtiar kita untuk meredakan kemurkaan Allah dan asbab (sebab-sebab) untuk menghindarkan azab Allah ta’ala,” jelas beliau lagi dalam pesanan suara dalam bahasa Urdu yang diterjemahkan oleh Maulana Wan Helmi Al-Hafiz, seorang penceramah terkenal tanahair.

Bagaimanapun, menurut Syaikh Muhammad Sa’ad, sangat penting bagi setiap orang untuk menggunakan asbab zahir seperti mengambil langkah berjaga-jaga sebagaimana pesanan-pesanan yang disarankan oleh ulama-ulama yang haq.

Disamping itu, katanya, setiap orang perlu mengambil kira saranan para doktor dan juga arahan-arahan dari pihak kerajaan termasuk larangan mengadakan perhimpunan.

“Dalam keadaan sekarang sangat penting bagi kita untuk memberikan kerjasama dan bantuan sepenuhnya kepada pihak kerajaan. Hamba (saya) sendiri di Delhi sekarang sedang mengamalkan pesanan doktor yang menyarankan agar saya melakukan kuarantin. Memilih tadbir, ikhtiar, yakin dan tawakkal sama sekali tidak bercanggah dengan keimanan kepada Allah ta’ala. Untuk itu sangat penting untuk memilih
pentadbiran (pengurusan) yang betul,” kata beliau.

Syaikh Maulana Muhammad Sa’ad yang juga Hadratji (Amir) bagi gerakan dakwah Tabligh dunia yang berpusat di Nizamuddin, India berkata, jemaah-jemaah dakwah walau di mana pun berada adalah diminta agar sentiasa mentaati arahan pihak berkuasa tempatan. – SM

(Visited 596 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button