Nasional

Majlis kemuncak sambutan 100 tahun SITC-MPSI-IPSI-UPSI malam ini

MAJLIS Kemuncak Sambutan 100 Tahun empat era iaitu Sultan Idris Training College (SITC)-Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI)- Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI)- Universiti Pendidikan Idris (UPSI) akan berlangsung malam ini , jam 8.00 malam di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata Malam Kemuncak Sambutan 100 Tahun itu mendapat perkenan KDYMM Yang Di-Pertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah untuk berangkat merasmikannya malam ini.

Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff

Katanya, sambutan 100 tahun dilancarkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 29 November 2021 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

“Sambutan 100 tahun sangat bermakna kerana menghamparkan kenangan dan sumbangan warga institusi pendidikan tersohor ini sejak zaman Sultan Idris Training College (SITC), Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sehingga ke era UPSI.

Beliau berkata sepanjang empat era itu ramai tokoh-tokoh kepemimpinan, kebahasaan, kesusasteraan, keusahawanan kesukanan serta kesukarelawanan dilahirkan sekali gus mengharumkan nama institusi yang dikenali sebagai Ibu Kandung Suluh Budiman.

Kampus UPSI dari udara.

UPSI memiliki sejarah yang panjang berikutan penubuhannya berkesinambungan dari zaman SITC yang ditubuhkan pada 29 November 1922, MPSI, IPSI seterusnya dinaiktarafkan kepada UPSI pada 1 Mei 1997.

Kampus Sultan Abdul Jalil Shah yang ada sekarang adalah kampus bersejarah berikutan bermulanya pembinaan Bangunan Suluh Budiman zaman SITC dan Kampus Sultan Azlan Shah yang terletak di Proton City pula terkenal dengan panorama keindahannya di sisi Banjaran Titiwangsa.

Sempena sambutan 100 tahun, katanya, UPSI menjual pelbagai bentuk cenderamata yang terpapar logo sambutan 100 Tahun untuk dibeli dan dimiliki oleh warga UPSI, alumni SITC-MPSI-IPSI-UPSI serta masyarakat yang hadir dan ingin memilikinya sebagai koleksi peribadi seperti plat kereta UG (Universiti Guru), stem kenangan, serta duit syiling.

Sepanjang tahun ini dan sempena sambutan, UPSI menjayakan sebanyak 100 program yang membabitkan kluster dalam penganjuran program sejarah, teknologi pendidikan, kebudayaan, kerohanian, kepimpinan, penerbitan, penyelidikan dan inovasi, rekreasi, keusahawanan, pengantarabangsaan, komuniti, serta alumni yang dijayakan semua peringkat pusat tanggungjawab.

“Saya berterima kasih kepada seluruh kakitangan UPSI yang berpenat lelah bertungkus-lumus menjayakan pelbagai program sehingga pada Malam Kemuncak Sambutan 100 Tahun pada Khamis nanti,” katanya.

UPSI, katanya, sedang meniti kemasyhuran dan membina legasi baharu apabila pelbagai kejayaan dicapai sama ada di dalam mahupun di luar negara ,” katanya.
Beliau berkata UPSI semakin dikenali dan disegani malah menjadi fokus masyarakat menjadi universiti rujukan dalam dunia pendidikan. -SM

(Visited 194 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button