BanjirNasionalNegeriUncategorized

Raja Muda Perlis berkenan tinjau lokasi terjejas banjir

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melakukan lawatan tinjauan ke beberapa lokasi yang terjejas akibat banjir di negeri ini, petang semalam.

Baginda selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menemui mangsa di samping meninjau lebih dekat tempat kejadian.

Turut mengiringi Baginda, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris.

Salah seorang mangsa, Noor Lela Aziz, 53 yang tinggal di Guar Sanji melahirkan rasa syukur apabila permasalahan beliau mendapat perhatian MAIPs.


Lebih mengejutkan kata beliau, Raja Muda sendiri yang berkenan berangkat bagi melaksanakan lawatan tinjauan ke kediamannya.

Noor Lela berkata, bahagian belakang rumahnya runtuh akibat banjir kilat.

Sementara itu, Mohd Nazim memaklumkan bahawa MAIPs sentiasa memantau keadaan mangsa dari semasa ke semasa.

“Kita akan melihat keperluan mempertimbangkan bantuan di bawah Skim Agihan Bantuan Bencana bagi membantu meringankan beban mangsa bencana alam ini,” katanya.

Terdahulu itu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan berangkat mengetuai Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli Bilangan Ke-71 bagi tahun 2022.

Sempena dengan program itu, Baginda menyampaikan agihan zakat MAIPs bernilai RM700 secara tunai, beras serta bekalan makanan mentah di tiga buah rumah keluarga asnaf.

Mereka terdiri dari Hamzah Umar, 82 di Kampung Sungai Berembang, Shareom Kasim, 61 di Kampung Kurong Tengar dan Johari L Dahaman, 78 di Jalan Sungai Berembang.

Sehari sebelumnya Tuanku Syed Faizuddin berkenan meninjau kawasan Titi Chai dan Kampung Sentua di Utan Aji yang telah dilanda banjir kilat. – SM

(Visited 33 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button