Politik

MCA beri laluan UMNO tanding di Parlimen Alor Gajah?

MCA Melaka menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti itu dan Barisan Nasional (BN) sama ada sedia untuk memberi laluan kepada calon dari UMNO untuk bertanding di Parlimen Alor Gajah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Bagaimanapun kata Naib Presiden MCA, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, setakat ini status quo dua kerusi Parlimen milik parti itu bertanding di Alor Gajah dan Kota Melaka masih kekal.

Beliau yang juga Pengerusi MCA negeri menegaskan semangat perkongsian kuasa yang diamalkan oleh BN sebelum ini pada PRU14, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor mengikut modul perkongsian kuasa yang wajar.

“Pendekatan dan juga cara yang diamalkan oleh BN dalam menentukan pembahagian kerusi dan calon akan dibincangkan di peringkat presiden parti dan kepimpinan tertinggi BN.

“Saya yakin dan percaya kepimpinan BN dengan pengalaman dan juga kebijaksanaan sudah tentu mereka akan dapat melakukan pembahagian kerusi serta penentuan calon yang terbaik.

“Setakat ini MCA Melaka masih kekal bertanding di Alor Gajah dan Kota Melaka jika sebarang keputusan sebaliknya ia wajar diputuskan oleh Presiden parti dan pucuk pimpinan tertinggi BN.

“Apa pun kita tunggu pengumuman daripada BN atau Presiden parti tidak lama lagi bagi menjawab segala persoalan yang timbul. Apa sahaja keputusan kami di Melaka akan menerimanya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sijil warganegara kepada Muhammad Shaffiq Izudin Aziz Abdul Rahim, 10, di Pejabat Pendaftaran Negara (JPN), Ayer Keroh di sini hari ini.

Ban Hong ditanya mengenai desas-desus beberapa nama dari UMNO dikatakan akan bertanding di kerusi berkenaan pada PRU15 antara yang disebut-sebut ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Mengulas mengenai kedudukannya yang turut dikatakan akan bertanding di Alor Gajah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang berkata, beliau juga menunggu keputusan daripada pucuk kepimpinan tertinggi MCA dan BN.

Pada PRU14 Parlimen Alor Gajah dimenangi Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menewaskan calon dari BN, Datuk Wong Nai Chee dan Nazree Aris dari Pas dengan majoriti 6,980 undi. – SM

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button