AgamaBerita

MAIPs galas amanah ehwal Islam serumpun

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sentiasa terpanggil untuk menggalas amanah menjalinkan kerjasama serumpun dalam pelbagai bidang berkaitan pengurusan hal ehwal Islam, pemerkasaan bahasa Melayu, tulisan jawi dan lain-lain bidang melalui kerjasama eratnya bersama Majlis Agama Islam (MAI) di 6 Wilayah Andaman Thailand.

MAIPs bekerjasama dengan Majlis Agama Islam berkenaan dalam pebagai bidang di enam wilayah serumpun ini seperti hal ehwal Islam meliputi pengurusan zakat dan perkahwinan, ekonomi, pelancongan, kebudayaan, kesenian, warisan, sukan, keselamatan, kesihatan dan sebagainya yang perlu terus diberikan perhatian dan diperbincangkan dari masa ke semasa.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurut hebahab media yang disiarkan oleh MAIPs ketika baginda berkenan berangkat mempengerusikan ‘Mesyuarat Dan Sembah Mengadap Tahunan Oleh Yang DiPertua-Yang DiPertua Majlis Agama Islam (MAI) 6 Wilayah Andaman Thailand’.

Perbincangan tahunan masuk tahun ke lapan melibatkan Ketua-Ketua atau wakil daripada Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman, Thailand yang terdiri daripada Wilayah Krabi, Phuket, Trang, Phang Nga, Ranong dan juga Satun itu buat julung kalinya diadakan sedemikian rupa secara dalam talian.

Mengetuai delegasi Thailand adalah Hj Asnawee Mukura sebagai Pengerusi Gabungan Majlis Agama Islam 6 Wilayah Andaman yang juga merupakan Yang DiPertua Majlis Agama Islam Wilayah Krabi.


Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, bertepatan slogannya “Menjunjung Syiar, Memaju Ummah”, maka program pemerkasaan bahasa Melayu dan tulisan jawi misalnya yang dilaksanakan oleh MAIPs dengan kerjasama Dewan Bahasa Pustaka dan juga IPT-IPT Perlis, sedikit sebanyak berjaya mendedahkan keunikan bahasa ini dari pelbagai aspek terutama sekali memberi peluang pelajar dari Thailand untuk meningkatkan lagi penguasaan terhadap bahasa Melayu sebagai medium komunikasi. Disedari suatu ketika dulu, penduduk beragama Islam di wilayah-wilayah Andaman bertutur menggunakan bahasa Melayu namun kini ia kurang digunakan terutamanya oleh golongan muda dan ia semakin dilupai seiring peredaran masa.

Tuanku Raja Muda juga berharap semoga kedua-dua belah pihak akan terus ke hadapan, bersemangat serta memperkasakan lagi jaringan kerjasama strategik di antara dua negara serta menjayakan segala bentuk usaha sama dan perancangan, demi kebaikan Ummah.

Foto Arkib

(Visited 37 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button