fbpx
Nasional

Mahkamah tolak permohonan lucut hak RM677,872 milik Umno Johor

PIHAK pendakwaan gagal dalam permohonan melucutkan hak wang berjumlah RM677,872.55 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada UMNO Johor didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pendakwa raya selaku pemohon terhadap Badan Perhubungan UMNO Johor sebagai responden.

Dalam penghakiman, Jamil berkata, mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang yang disita itu adalah hasil daripada aktiviti haram dan Badan Perhubungan UMNO Johor mengemukakan keterangan untuk membuktikan wang yang disita itu diterima daripada sumber lain.

“Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah dapati pemohon gagal membuktikan wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” kata hakim itu.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, manakala peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Badan Perhubungan UMNO Johor.


Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwa raya terhadap UMNO Johor mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, agensi itu memfailkan permohonan terhadap 41 entiti yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta, yang mempunyai kaitan dengan 1MDB yang SPRM percaya wang itu dipindahkan daripada akaun bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

(Visited 42 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button