Nasional

Gaji penjawat awam tetap akan dibayar walau belanjawan tidak lulus

KERAJAAN digesa berhenti daripada memberi gambaran buruk kepada rakyat khususnya penjawat awam berhubung dakwaan tiada pembayaran gaji jika belanjawan tidak diluluskan.

Ini kerana, gaji kakitangan dan sektor awam tetap akan berfungsi memberi khidmat kepada rakyat walaupun Belanjawan 2021 tidak mendapat kelulusan Dewan Rakyat.

Kebimbangan sebenar bukanlah terletak kepada rakyat, tetapi kerajaan kerana kelulusan belanjawan akan memberi tafsiran sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin mungkin kehilangan sokongan dalam Dewan Rakyat jika Belanjawan 2021 tidak mendapat kelulusan dan undian daripada Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen pula sewajarnya mengambil tanggungjawab untuk tidak menyokong sekiranya aspirasi mereka serta tuntutan rakyat tidak dipenuhi.

“Maka orang awam tak perlu anggap jika ahli Parlimen tidak menyokong belanjawan, jika cadangan mereka ditolak, yang mereka tidak mengutamakan negara.”

Demikian kata peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdullah memetik laporan daripada Malaysiakini, hari ini.

Hanif dilapor berkata demikian ketika ditemubual dalam program Jom Channel semalam menyatakan jika Muhyiddin kehilangan sokongan, Yang di-Pertuan Agong akan memilih Perdana Menteri dan kabienet baharu.

Menurutnya, berdasarkan Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan, kerajaan boleh membentangkan belanjawan bagi suku pertama sahaja tahun hadapan.

Ia merangkumi pembayaran gaji dan sumber kewangan untuk negara berhadapan dengan pandemik Koronavirus (Covid-19). Belanjawan penuh boleh dibentang kemudian.

Berdasarkan kepada Perkara 102, dalam Parlimen boleh membenarkan perbelanjaan bagi sebahagian tahun kewangan apabila berada dalam keadaan yang luar biasa keterdesakannya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi amaran gaji penjawat awam dan bantuan tunai akan tertangguh jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, kenyataan itu dibantah ramai pihak termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kenyataan Tengku Zafrul berbaur ugutan.

Beberapa pemimpin parti politik dalam Dewan Rakyat sebelum ini memberi bayangan tidak akan menyokong Belanjawan 2021.

Sebaliknya meletakkan syarat supaya pengeluaran RM10,000 secara one-off daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium pinjaman bank diberikan.

Selain itu, beberapa pihak turut membantah penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dengan peruntukan RM81.5 juta. – SM

 

(Visited 379 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button