MahkamahNasional

Mahkamah benarkan injunksi ad interim PM terhadap Agenda Daily

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan injunksi ad interim yang dimohon Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terhadap pemilik portal berita Agenda Daily dalam saman fitnah berhubung artikel yang ia terbitkan.

Ismail Sabri mengemukakan saman terhadap Agenda Daily kerana artikel bertajuk “Ismail Sabri bimbang jadi PM paling singkat, ‘rayu’ jangan tarik sokongan” yang dikata membayangkan bahawa beliau merayu sokongan berterusan daripada sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN).

Memetik laporan FMT hari ini, Injunksi ad interim berfungsi untuk memberikan perlindungan sementara kepada plaintif yang memohon, sementara menunggu perbicaraan injunksi interim.

Peguam Joshua Tan yang mewakili Ismail Sabri berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Evrol Mariette Peters membenarkan injunksi itu dikuatkuasakan kerana injunksi ex-parte sebelum ini akan tamat pada 11 Mac.

“Injunksi ad interim akan kekal berkuat kuasa sementara menunggu injunksi inter partes selesai pada 23 April,” katanya selepas prosiding dalam talian di hadapan hakim hari ini.

Joshua berkata, pemilik portal berita terbabit yang telah menghubungi sebuah firma guaman untuk menjawab saman itu, juga telah menurunkan artikel berkenaan pada 23 Feb.

“Hakim telah memberinya masa untuk memfailkan afidavit untuk menjawab saman Perdana Menteri,” tambahnya.

Ismail Sabri yang menyaman atas kapasiti peribadi, menamakan Izwan Mohd Zubit sebagai defendan atas kapasitinya sebagai pemilik Agenda Daily Media Enterprise yang mengendalikan portal berita itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ismail Sabri berkata, artikel tersebut dalam maksud biasa dan secara inferens menyatakan bahawa beliau bimbang akan menjadi Perdana Menteri yang paling singkat penggalnya dalam sejarah Malaysia.

Katanya, artikel itu juga membayangkan beliau terdesak untuk kekal menyandang jawatan itu dengan apa cara sekalipun dan sanggup “merayu” parti politik tertentu agar tidak menarik balik sokongan kepadanya.

Tambahnya, artikel itu turut memberi gambaran bahawa beliau hanya mementingkan kedudukan dan tidak mempedulikan rakyat.

Beliau memohon injunksi kekal, ganti rugi dan permohonan maaf diterbitkan di Agenda Daily dan dua akhbar tempatan lain. – SM

 

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button