Sukan

Kejohanan Futsal Piala CAK tawar RM50, 000

KEJOHANAN Futsal Piala CAK menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000 kepada peserta yang akan diadakan di Kompleks Sukan Batu Berendam, Melaka dari 2 hingga 3 Mac depan.

Kapten Ahmad Khairul Mohd. Noor.

Pengerusi Futsal Lelaki Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Kapten Ahmad Khairul Mohd. Noor berkata, kejohanan yang dijangka disertai 128 pasukan itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-100 persatuan itu dan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurutnya, kejohanan itu diadakan oleh Brumel Event Management serta mendapat kerjasama daripada MAFA.

Beliau berkata, kejohanan tersebut juga akan digunakan untuk memilih 12 pemain futsal skuad senior dan 12 pemain junior Melaka bagi mengharungi cabaran musim ini.

“Pencarian bakat baharu itu bagi mempersiapkan skuad negeri ini menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos ini.

“Selain itu kita akan membuat persiapan rapi bagi menghadapi Kejohanan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) tidak lama lagi,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Ahmad Khairul yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif MAFA yang baharu dilantik berkata, kejohanan tersebut yang julung-julung kali diadakan akan dirasmikan oleh Ketua Menteri yang juga Presiden MAFA, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof serta dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abdul Halim.

Menurutnya, juara akan menerima hadiah wang tunai RM3,000, naib juara mendapat RM1,500, ketiga pula dengan RM1,000 manakala tempat keempat pula RM500.

Katanya, cabaran getir perlu dilalui setiap pasukan untuk mara ke akhir kerana perlu melalui banyak perlawanan membabitkan 32 kumpulan bersaing untuk muncul juara kumpulan.

Ujarnya, juara setiap kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati 64 pasukan, 32 pasukan dan 16 pasukan sebelum mara ke suku akhir, separuh akhir dan akhir.

Beliau berkata, penyertaan terbuka kepada semua pasukan atau kelab dan terhad kepada 128 pasukan terawal. Tarikh tutup penyertaan pada 10 Februari depan dan yuran penyertaan sebanyak RM300.

“Setakat ini kita telah menerima pengesahan daripada 40 pasukan dan dijangka lebih banyak penyertaan akan diterima namun dihadkan kepada 128 pasukan terawal,” ujarnya.

Jelasnya, bagi memeriahkan kejohanan itu pihaknya turut menyediakan pelbagai barangan menarik untuk cabutan bertuah termasuk sebuah motosikal jenis Yamaha Y16ZR berharga RM11,398 untuk dimenangi.

Di samping itu katanya, sebanyak 10 food truck viral menjual pelbagai jenis makanan seperti Coconut Shake, Azam Fried Chicken dan sebagainya akan berada di sekitar parkir di Kompleks Sukan Batu Berendam selama dua hari kejohanan itu diadakan.

Borang penyertaan boleh didapati menerusi pautan https://forms.gle/LSMGAoZhm7lqP4iH9 atau menghubungi Fairuz (012- 3961984), Yusri (013-6606275) dan Maisarah (011-54102928). – SM

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button