Nasional

LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi guna satu landasan

LRT Laluan Kelana Jaya yang mengalami kemalangan hingga menyebabkan lebih 200 tercedera beroperasi menggunakan satu landasan sahaja bermula pukul 6 pagi ini.

Rapid KL dalam sati kenyataan berkata, perkhidmatan tren akan menggunakan satu landasan serta disokong oleh perkhidmatan bas perantara percuma pada waktu puncak.

“Dengan kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu selainnya, serta pengurangan kapasiti kepada 50 peratus susulan daripada pengumuman Kerajaan berhubung langkah-langkah lebih ketat dalam pelaksanaan PKP 3.0, para penumpang dijangka perlu menunggu dengan lebih lama sedikit daripada biasa,” katanya.

Kekerapan tren mungkin akan diubahsuai mengikut keperluan semasa operasi.

Bagi melancarkan pergerakan para penumpang pada waktu puncak lima buah bas perantara dua tingkat percuma dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit turut disediakan untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park.


Dalam satu kenyataan, Rapid KL berkata, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hari setelah semua kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selesai.

Prasarana juga telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kerja-kerja sanitasi di Stesen KLCC serta di kawasan sekitarnya bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Prasarana kesal dengan kejadian yang berlaku, dan akan terus memantau perkembangan penumpang yang terlibat dalam insiden semalam serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung insiden tersebut,” katanya.

Dalam insiden pukul 8.45 malam itu 15 penumpang kritikal, 32 parah dan 166 lagi cedera selepas berlaku pelanggaran dua buah tren di dalam terowong antara Stesen Kampung Baru dan KLCC.

Tren dari arah Kampung Baru ke Gombak yang rosak sedang dipandu uji oleh seorang pemandu tanpa penumpang bertembung dengan tren dari arah Gombak yang bergerak secara automatik berkelajuan 40 kilometer sejam dan dinaiki 213 penumpang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010-SM

(Visited 128 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button