Jenayahpilihan

Lelaki warga Indonesia dicekup pukul kepala majikan hingga mati

Seorang lelaki warganegara Indonesia ditahan polis kerana disyaki telah memukul kepala majikannya menggunakan tukul besi sehingga mati dalam kejadian di Rumah Kebun, Ladang Kelapa Sawit, Lorong Sidang Hj. Hamid, Paya Rumput Jaya, di sini, 22 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang mati adalah seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun.

Menurutnya, pihak polis mengambil masa tidak sampai 48 jam sebelum dapat mengesan suspek yang ditahan di sebuah rumah di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang, Selangor kira-kira pukul 4.00 pagi pada Sabtu lepas.

“Lelaki berkenaan ditahan selepas polis menerima maklumat penemuan mayat seorang lelaki di dalam sebuah rumah kebun dipercayai dibunuh pada pukul 1.20 pagi, 27 Disember lalu dan siasatan lanjut yang dijalankan berjaya mengenali suspek kejadian itu.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku berada di tempat kejadian pada pukul 12.30 tengah hari 22 Disember lalu yang mana mangsa didakwa telah memarahi dan memaki suspek dengan bahasa kasar menyebabkan suspek hilang sabar lalu menukul kepala si mati dari belakang.

“Suspek telah mengheret mayat lelaki warga emas masuk ke bilik sebelum mengambil barangan peribadi mangsa seperti telefon bimbit, dompet dan kunci kereta sebelum mengunci pintu bilik menggunakan mangga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, suspek telah memandu kereta pacuan empat roda jenis Ford Ranger milik mangsa dan telah pergi ke kedai telefon di Bukit Rambai untuk menjual telefon bimbit mangsa sebelum memandu kereta menuju ke Rembau, Negeri Sembilan.

Menurutnya, ketika di Rembau, minyak Ford Ranger dilarikan itu dipercayai kehabisan minyak dan ditinggalkan di hadapan deretan kedai sebelum menghubungi perkhidmatan e-hailing untuk ke Stesen Bas Tampin.

Ujarnya, suspek kemudian menaiki bas menuju ke Klang dan bersembunyi di asrama rakannya yang juga warga Indonesia.

Katanya, hasil serbuan pada 30 Disember, polis berjaya menahan suspek di bilik hadapan asrama berkenaan.

“Polis berjaya menemukan sebuah telefon bimbit jenis Oppo F7, tukul besi yang dipercayai digunakan suspek, sebuah kereta Ford Ranger, kunci kereta, dompet berwarna hitam yang mengandungi kad ATM dan kad pengenalan mangsa, serta pakaian yang digunakan ketika kejadian,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – SM

Artikel berkaitan > Pemandu Perodua Axia mabuk sebabkan kematian dua pelajar

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button