Jenayah

Geng Batam pecah cermin kereta di Bandar Melaka tumpas

Kelicikan sekumpulan empat lelaki warganegara Indonesia menggelarkan diri mereka ‘Geng Batam’ melakukan jenayah pecah cermin kereta dan mencuri pelbagai barangan berharga di sekitar bandar Melaka sejak awal bulan ini akhirnya tumpas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 41 tahun yang menjadi dalang dalam kejadian itu berjaya diberkas di beberapa lokasi sekitar Senai, Johor Bahru sekitar pukul 9.30 malam pada 14 September lalu.

Menurutnya, polis bertindak menjejaki kumpulan berkenaan ekoran tular di aplikasi WhatSapp dan kebimbangan orang ramai mengenai kejadian pecah kereta yang kerap berlaku di sekitar Melaka Tengah.

Christopher Patit.

Beliau berkata, susulan daripada itu satu risikan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Melaka Tengah dan telah mengenal pasti empat suspek dipercayai warganegara Indonesia mendalangi jenayah tersebut.

“Kita berjaya memberkas empat lelaki dan berjaya merampas pakaian, beberapa unit telefon bimbit, lampu suluh dan sebuah kenderaan yang disewa mereka.


“Kumpulan ini didapati bergerak menggunakan kenderaan yang disewa di Johor Bahru dan menjadikan Melaka sebagai tempat untuk melakukan jenayah pecah kereta menggunakan serpihan seramik dan palam pencucuh.

“Mereka mensasarkan barang berharga yang ditinggalkan dalam kereta lalu memecahkan cermin kenderaan itu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Patit berkata, dalam serbuan yang dilakukan polis turut menjumpai barang-barang beserta ayat-ayat dan kalimah jampi serampah dipercayai digunakan mereka sebagai tangkal atau pendinding bagi mengaburi perbuatan jenayah daripada dikesan polis.

Menurutnya, kejayaan menangkap empat lelaki berkenaan polis percaya dapat menyelesaikan sebanyak lapan kes jenayah pecah cermin kereta yang dilaporkam berlaku di sekitar Melaka Tengah.

Beliau berkata, kesemua suspek masih ditahan reman sejak 15 September lalu kerana terlibat dalam beberapa kes jenayah yang lain.

Katanya, selesai siasatan semua kes yang melibatkan kumpulan itu barulah mereka akan didakwa di Mahkamah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK). – SM

(Visited 56 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button