Jenayahpilihan

Tiga cedera polis bantuan terlepas tembakan di sebuah bank

Seorang polis bantuan sebuah syarikat konglomerat ditahan polis apabila dia dipercayai terlepas tembakan di dalam sebuah bank di Jasin, Melaka sehingga menyebabkan dua pelanggan dan seorang pekerja cedera dalam kejadian tengah hari hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian menerusi panggilan awam kira-kira pada jam 12.55 tengah hari.

Menurutnya, ketika kejadian, terdapat seorang lelaki iaitu pengawal keselamatan berusia 25 tahun, dua wanita masing-masing berumur 46 dan 28 tahun.

“Kesemua mangsa mengalami luka kecil di telinga, paha dan betis kaki kiri akibat terkena serpihan jubin yang terpelanting akibat terkena tembakan daripada senapang polis bantuan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Jamil berkata, siasatan mendapati, polis bantuan berusia 59 tahun datang ke bank terbabit bagi urusan gaji pekerja syarikat syarikat konglomerat multinasional itu.

Jelasnya, ketika lelaki itu sedang membetulkan kedudukannya dipercayai berlaku kecuaian apabila suspek tertarik picu senapang menyebabkan berlaku tembakan.

“Selain menahan polis bantuan itu, polis turut merampas selaras senapang jenis Vinwinchester Model 1200 GA.2 3/4 Chamber Siri L 1207477 berserta satu kelongsong peluru,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Harith Md Yusof di talian 014-9860357 atau 06-529222 (sambungan 324) atau mana-mana balai polis berhampiran.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Senjata 1960. – SM

(Visited 45 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button