Mahkamah

Lelaki rompak kedai serbaneka dipenjara 12 tahun, tiga sebatan

Seorang lelaki yang merompak tiga kedai serbaneka dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh Melaka di sini hari ini.

Tertuduh Abdul Qayyum Mokhtar, 30, membuat pengakuan bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam dua prosiding berasingan
di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam

Di hadapan Mohd. Sabri, tertuduh mengakui dengan niat melakukan rompakan bersenjatakan sepucuk pistol tiruan dan satu stapler gun dengan melarikan lapan kotak rokok dan wang tunai berjumlah RM467 milik pasar raya KK Mart.

Dia melakukan kesalahan tersebut di Jalan Bendahara dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2.15 pagi pada 2 November lalu.

Tertuduh turut melakukan rompakan menggunakan sebilah pisau dan satu stapler gun serta melarikan 10 kotak rokok dan wang tunai berjumlah RM600 milik KK Supermart
& Superstore di Taman Seri Cempaka, Peringgit, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 3.28 pagi pada 4 November lalu.

Bagi pertuduhan di hadapan Darmafikri pula tertuduh telah melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau dan melarikan 10 kotak rokok dan wang tunai berjumlah RM421 milik KK Supermart & Superstore.

Kesalahan itu dilakukan di Taman Semabok, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2.30 pagi pada 3 November lalu.

Bagi kesemua kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 397 kanun yang sama. Sabit kesalahan boleh
dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran dan sebatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam merayu hukuman ringan kerana menanggung dua anak berusia lima dan dua tahun selain menjaga ibu tunggal yang mengidap
sakit jantung.

Hakim Mohd Sabri dan Darmafikri kemudian menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan serta dijalankan secara berasingan selepas tamat tempoh bagi setiap kesalahan. – SM

(Visited 49 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button