Mahkamah

Mahkamah tidak benar ikat jamin 5 disyaki cemar sungai di Selangor

MAHKAMAH Sesyen Selayang tidak membenarkan empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat diikat jamin.

Kesemua mereka termasuk empat beradik itu hari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang berhubung kes membuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang hari ini.

Yip Kok Wai, 53; Yip Kok Mun, 58; Yip Kok Kuin, 70 dan Yip Kok Wong, 60; serta pengurus bengkel, Ho Voon Leong, 59, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Hakim memerintahkan semua tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 27 Oktober ini bagi sebutan semula kes.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam alur air yang akan mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.
Bagi pertuduhan kedua, semua mereka dituduh dengan niat bersama melepaskan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke Sungai Gong tanpa lesen.
Kedua-dua kesalahan itu dituduh dilakukan di premis Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd, di lot 4219, Jalan Batu Arang, Kampung Sungai Dua, Rawang, Gombak pada 2 hingga 3 September.

 

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mereka turut dituduh mengikut Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskadar Ahmad, Mohd Ashraf Kamal, Mohd Izhanudin Alias dan Arunjothi, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Datuk M Reza Hassan.-SM

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button