Belang Bertempat

Ronnie Liu pemimpin jajaran baharu, pejuang rakyat sejati

Pemimpin DAP Ronnie Liu adalah pejuang rakyat yang sejati dan sanggup mengambil risiko demi rakyat.

Semua dapat melihat bagaimana Liu sanggup melanggar larangan merentas daerah, bahkan merentas negeri dari Selangor ke Pahang untuk membela nasib para petani di Raub.

Liu sedar risiko akan dikenakan saman, tetapi itu tidak penting kerana nasib rakyat harus dibela.

Para petani berkenaan walaupun menanam pokok durian musang king di tanah milik kerajaan dan melanggar undang-undang, tetap harus dibela atas dasar kemanusiaan.

Bagi Liu hak rakyat harus dibela tanpa mengira bangsa dan agama, sebab itu apabila orang Melayu membina rumah di tanah kerajaan dan dirobohkan seperti di Paya Jaras, Selangor, beliaulah yang paling ke hadapan membela penduduk berkenaan.

Jadi tidak hairan mengapa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sangat kagum dengan para pemimpin DAP dan bersungguh-sungguh mewujudkan jajaran baharu politik.

Kerjasama UMNO dengan DAP ini akan menjadikan UMNO lebih dipandang tinggi kerana bersama-sama dengan para pejuang rakyat sejati seperti Liu.

Bukan sahaja Liu, seorang lagi pemimpin DAP yang harus dipuji sikapnya ialah Lim Kit Siang. Pemimpin veteran itu akan membela siapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama.

Baru-baru ini beliau membangkitkan isu besar yang umat Islam sendiri tidak pernah terfikir iaitu kegagalan ‘kerajaan Allah’ dalam menguruskan negara ini.

Pandangan jujur dan ikhlas tanpa mengira sensitiviti agama ini diperlukan dan teguran terbuka begini akan membuka fikiran masyarakat khusus umat Islam.

Walaupun sikap sedemikian menjengkelkan orang Melayu, tetapi tidak menjadi masalah kepada UMNO untuk mensucikan kembali para pemimpin berkenaan apabila mereka dengan jujur dan ikhlas menyatakan permohonan maaf dari lubuk hati yang suci murni mereka dan bertekad tidak akan mengulangi lagi.

Ramai lagi pemimpin DAP selama 22 bulan menjadi kerajaan sebelum ini, sangat tegar dalam membantu dan membela nasib rakyat.

Rakyat tidak pernah dilupakan bantuan RM30 diberikan sangat membantu dan meringankan bebanan rakyat. Nilai RM30 memang kelihatan kecil tetapi ia membuktikan kerajaan berkenaan tidak meminggirkan rakyat.

Selain itu rakyat perlu diajar berdikari dan bukan hanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan. Masyarakat yang kuat adalah masyarakat yang sentiasa berdikari.

Itu belum bercerita isu anggota bomba Adib yang terkorban daam kekalutan di sebuah kuil Hindu di Selangor. Sehingga hari ini para pemimpin DAP sahaja yang terus lantang membela nasib Allahyarham.

Selamat berjuang UMNO dengan jajaran baharu politik, atau lebih tepat kerja UMNO lebih mudah iaitu hanya mensucikan pemimpin DAP.

(Visited 1,434 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button