Mahkamah

Lelaki berdepan hukuman penjara 20 tahun pukul jiran guna pengunci stereng kereta

Gara-gara memukul jiran sehingga parah menggunakan batang pengunci stereng kereta seorang lelaki berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Ahmad Baba, 53, yang masih bujang mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah terhadap Zulhelmi Md. Yusof, 42, menggunakan batang pengunci stereng kereta sepanjang
54 sentimeter yang mana jika digunakan dengan salah boleh menyebabkan kematian.

Tertuduh melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 6.22 petang 22 Ogos lalu di sebuah
rumah bernombor, Jalan Kesidang 2/17, Lorong Pandan dalam daerah Melaka Tengah.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana mangsa adalah jiran bersebelahan rumahnya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya berkata, dia bertindak demikian kerana mangsa sebelum ini pernah mengancam nyawanya.

Dia turut menafikan dirinya gila sehingga sanggup memukul jirannya itu sesuka hati.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – SM

(Visited 73 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button