Politik

Kalau PN nak menang, beri Shaid jadi calon DUN Jeram

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti Pejuang, Shaid Rosli meminta Perikatan Nasional (PN) memberi peluang kepadanya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram di bawah tiket gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Shaid yang keluar Pejuang bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari lalu berkata, selaku penyandang, beliau yakin mampu memberi tentangan sengit kepada calon Barisan Nasional (BN), Jahaya Ibrahim yang dipertaruhkan oleh gabungan kerajaan perpaduan.

“Majoriti penduduk Jeram menyatakan sokongan untuk saya bertanding atas tiket PN. Jadi terpulang kepada pucuk pimpinan PN.

“Dengan senario 50-50 antara PH-BN dan PN maka kemenangan satu kerusi ini amat berharga untuk PN,” katanya yang mengakui bergerak aktif di bawah NGO Proklamasi Orang Melayu digagaskan Tun Mahathir yang turut disokong Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sekiranya PN fikirkan kemenangan pada PRN, mereka boleh bagi peluang itu kepadanya.

Pada PRU14, Shaid menang di DUN Jeram menerusi tiket Bersatu dengan majoriti 1,191 undi namun beliau keluar parti pada 8 Ogos 2020 dan menyertai Pejuang yang diasaskan oleh Tun Mahathir.

Shaid berkata, PN dijangka mempertaruhkan calon luar iaitu Harrison Hassan bagi kerusi DUN Jeram dan tindakan itu, dakwa beliau, tidak disenangi oleh para pengundi tempatan.

“Calon yang PN nak bawa ialah calon luar, jadi orang kawasan sini lebih kenal saya kerana saya tinggal di sini.

“Jadi mereka lebih selesa kalau diberi peluang kepada calon tempatan,” ujarnya.

Tambah Shaid, berdasarkan undian pada PRU15, BN-PH dijangka berada dalam kedudukan selesa dengan majoriti lebih 9,000 undi berbanding PN.

“Satu jumlah besar mereka sedang mendahului. PN nak menang bukanlah senang di kawasan ini. Jadi kalau incumbent (penyandang) diberi peluang maka boleh beri saingan sengit kepada calon BN,” katanya. – SM

BACA ADUN Jeram kecewa pendaftaran Pejuang belum selesai

BACA Duduk dalam UMNO, undi Perikatan Nasional – Annuar Musa

(Visited 190 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button