PolitikRencana

Gelagat ketua pemuda UMNO kurang manis

UMUM faham mengapa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tergesa-gesa mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MT) dan kemudian mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendedahan bekas Peguam Negara Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

Selama ini pun Ahmad Zahid menganggap puluhan pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram terhadapnya adalah bermotifkan politik.

Jadi wajarlah MT UMNO mahukan RCI berkenaan dipercepatkan kerana terdapat kes yang diperingkat hakim akan menentukan prima facie dan jika terdapat prima facie maka Ahmad Zahid dan pasukan pembelaan perlu mengemukakan hujah-hujah, begitu juga sebaliknya jika tiada prima facie maka Ahmad Zahid akan dibebaskan.

Yang tidak manis apabila Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengeluarkan kenyataan mendesak kerajaan mempercepatkan RCI berkenaan, sedangkan menteri kabinet belum lagi mengangkat sumpah.

Sedangkan perkara itu perlu diputuskan oleh kabinet dengan keputusan majoriti. Bagaimana jika majoriti kabinet menolak cadangan RCI itu?


Apakah sekali lagi gerakan menjatuhkan kerajaan akan dibuat? Dan jika kerajaan memutuskan RCI itu diadakan pula ia menunjukkan kerajaan ini berada di bawah telunjuk UMNO.

Sedangkan kerajaan hari ini walaupun perdana menteri ialah orang UMNO, tetapi ia dianggotai oleh komponen parti lain.

Jadi apakah setiap kali keputusan MT UMNO dibuat kerajaan harus akur bagi mengelakkan daripada berdepan dengan satu lagi serangan atau penarikan sokongan?

Biarlah kerajaan ini berfungsi dengan baik kerana akhirnya ia memberi imej kepada UMNO sendiri.

Kelakuan tidak manis sebegini akhirnya akan menyebabkan kurangnya rasa hormat umum terhadap pemimpin UMNO dan kerajaan hari ini.

(Visited 421 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button