Berita

Lajim Ukin meninggal dunia akibat COVID-19

PENGERUSI Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Seri Lajim Ukin meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital Pakar KPJ Kota Kinabalu, pagi ini.

Perkara itu disahkan isterinya Datin Seri Normilah Siong ketika dihubungi Bernama, dan memaklumkan Allahyarham, 66, meninggal dunia pukul 6.23 pagi tadi.

Sementara itu pegawai khasnya Ismail Norazman berkata, jenazah Allahyarham yang juga bekas  Timbalan Ketua Menteri Sabah akan dibawa ke kampung halaman beliau di Kampung Kebatu, Beaufort untuk disemadikan.

“Terima kasih untuk segala doa kalian. Semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang soleh di sisi-Nya kelak, diampunkan segala dosa dan diterima segala amal kebaikannya di dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 24 Ogos lepas,  Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ditidurkan pada jam 2 petang di hospital sama untuk rawatan susulan akibat jangkitan COVID-19.

Sementara itu, AIM menerusi satu hantaran di Facebook menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada seluruh ahli keluarga Lajim.

“Seluruh warga kerja dan Sahabat AIM menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin yang telah pulang ke rahmatullah.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan bertaqwa,” kata AIM. – BERNAMA

(Visited 394 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button