Nasional

Lebih 1,000 kakitangan Media Prima terlibat pembuangan kerja – Geramm

KUALA LUMPUR – Gerakan Media Merdeka (Geramm) menjangkakan lebih separuh kakitangan akan kehilangan pekerjaan akibat pengecilan operasi syarikat Media Prima Berhad.

Pertubuhan itu menjangkakan jumlah  yang terlibat mencapai lebih 1,000 orang kakitangan bertugas.

Menurut kenyataan Geramm, surat rasmi pemberhentian kerja dijangka akan diserahkan esok.

“Walaupun kami memaklumi bahawa keputusan ini adalah untuk kelangsungan syarikat, Geramm menyeru agar pampasan setimpal diberikan kepada mereka yang terpaksa melepaskan jawatan masing-masing.

“Mereka ini difahamkan telah diletakkan oleh pengurusan untuk tugas bukan kewartawanan, melibatkan bahagian pengiklanan dan pengurusan bilik berita, di mana majoriti kakitangan bawahan kini berhadapan dengan risiko kehilangan pekerjaan,” kata Geramm.

Geramm menyeru agar syarikat lebih menitikberatkan pekerja yang berhempas pulas dan bergantung harap demi industri kewartawanan di negara ini.

“Penting juga untuk kami merujuk kepada pemilikan syarikat media oleh mereka yang sama ada terlibat atau berhubungan terus dengan entiti atau pemimpin politik.

“Dasar negara ini tidak menghalang perkara sedemikian, namun kebimbangan yang dirasai, bukan sahaja di Malaysia tapi juga di rantau ini dan di peringkat antarabangsa, ialah betapa ia mengecilkan lagi skop dan peranan kewartawanan sebagai badan semak imbang dan penyalur maklumat kepada masyarakat,” kata Geramm.

Sejak Pilihan Raya Umum (PRK-14) beberapa organisasi media terpaksa menutup operasi termasuk Utusan Melayu (M) Berhad membabitkan pemberhentian lebih 1,800 petugas.

Selain itu beberapa organisasi termasuk Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITBM) turut mengambil langkah pemberhentian pekerja bagi mengecilkan operasi.

Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu dimaklumkan dari 1 Januari 2019 sehingga 31 Ogos 2019 seramai 19,102 orang telah memohon dan menerima bayaran Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso akibat pemberhentian kerja.

Jumlah itu melibatkan pembayaran sebanyak RM59.84 juta.-SM

(Visited 89 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button