Nasional

Pemimpin negara ziarah ibu Najib di hospital

Ibu kepada Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak, Tun Rahah Mohamed Noah yang dalam keadaan tidak sihat dan berada di hospital menerima kunjungan beberapa pemimpin negara hari ini.

Dalam perkongsian di Facebook, Najib merafak sembah dan menjunjung kasih atas kunjungan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa dan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Selain itu, turut hadir berziarah adalah pemimpin politik dari kerajaan dan pembangkang termasuklah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Bonda kurang sihat. Ramai yang datang menziarahi bonda di hospital.

“Saya minta saudara-saudari tolong doakan agar bonda diberi kekuatan dan sembuh.

“Ini tempoh yang amat sukar dan merisaukan untuk kami sekeluarga,” kata Najib di Facebooknya.

Muhyiddin dan Anwar masing-masing turut berkongsi tentang kunjungan mereka di media sosial sambil mendoakan Najib dan keluarganya.

“Petang tadi saya meluangkan masa menziarahi Tun Hajah Rahah Tan Sri Haji Mohamed Noah di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

“Sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah SWT agar Tun Rahah yang merupakan balu Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak dan juga bonda Datuk Seri Najib diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusan rawatan. Amin,” kata Muhyiddin di Facebook.

Melalui platform sama, Anwar pula berkongsi: “Saya dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sempat menziarahi bonda kepada Dato’ Seri Najib Razak petang tadi yang kurang sihat. Mendoakan agar bonda beliau lekas sembuh dan kembali diberi kekuatan, insyaAllah.”

(Visited 253 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button