Nasional

Bekas ADUN Sungai Rambai dilepaskan, dibebaskan 34 pertuduhan seleweng dana RM318,400

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman dilepaskan dan dibebaskan daripada 34 pertuduhan penyelewengan dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bernilai RM318,400 pada 2017.

Peguam belanya, Datuk Hasanal Rezua Merican berkata, keputusan tersebut diputuskan oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini pada 19 Ogos lalu.

Menurutnya, Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pertuduhan yang dibawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas semua 34 pertuduhan itu gagal dibuktikan kes prima facie.

“Oleh itu, Hasan telah dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada semua pertuduhan yang disabitkan ke atas beliau.

“Kami tidak memaklumkan keputusan ini lebih awal kerana menunggu tempoh 14 hari yang dibenarkan oleh undang-undang untuk pihak pendakwaan menfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan tersebut ke Mahkamah Tinggi.


“Setelah tamat tempoh tersebut, pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan dan dengan itu pendakwaan terhadap Hasan telah diselesaikan secara tuntas untuk beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan,” ujarnya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Ayer Keroh hari ini.

Hasanal Rezua Merican (kanan) bersama Muzzammil Merican (tengah) dan Hasan Rahman mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rasyidah Murni Adzmi dan Afif Mohd Ali.

Hasan, 60, menghadapi 34 pertuduhan atas dakwaan jenayah pecah amanah dana dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 2016 dengan menandatangani 34 cek untuk projek ternakan rusa, tanaman pisang dan sayur-sayuran gantian cili dan jagung yang tidak diterima penerima projek berkenaan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Rambai, Kompleks Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai, Jasin antara 20 Februari 2017 hingga 17 Januari 2018.

Bagi semua tuduhan itu, Hasan didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

Hasanal yang turut dibantu seorang lagi peguam bela, Muzzammil Merican berkata, pada prosiding itu, mahkamah juga telah bersetuju bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes malah bersetuju dengan semua hujah yang dibawa pihak pembelaan iaitu wang berkenaan disalurkan ke akaun JAPERUN secara telus tanpa melibatkan penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu Hasan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin melahirkan rasa syukur dan gembira apabila Mahkamah Sesyen telah membuktikan beliau tidak bersalah di atas kesemua 34 pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam bela saya yang bijaksana berjaya mengendalikan kes saya sehingga mahkamah memutuskan saya dilepaskan dan dibebaskan.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabat, rakan seperjuangan yang sentiasa mendoakan saya. Sangat memeritkan sepanjang tiga tahun lebih saya berdepan kes ini dan kini saya didapati tidak bersalah,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada semua pihak agar tidak mendengar sebarang fitnah terhadapnya lagi selepas ini. – SM

(Visited 128 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button