Kebakaran

Keluarga terjejas akibat kebakaran di Kampung Simpang Tiga terima sumbangan RM1,000

Keluarga yang terbabit dalam kebakaran tiga rumah di Kampung Simpang Tiga yang meragut nyawa dua beradik, awal pagi semalam, menerima sumbangan RM1,000 setiap keluarga.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan itu disalurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Gombak dan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak yang masing-masing memberi RM500 kepada setiap keluarga yang terjejas.

“Selain itu, RM500 tambahan juga diberikan kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga dalam kejadian ini.

“Sumbangan yang diberikan ini adalah bantuan awal kepada keluarga yang terjejas dan kerajaan negeri akan mengikuti langkah seterusnya yang akan diambil selepas laporan bomba diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tiga keluarga mangsa kebakaran di Kampung Simpang Tiga.


Amirudin berkata, pihaknya juga akan melihat untuk menyalurkan bantuan lain kepada mangsa yang terjejas dalam kejadian itu.

“Saya difahamkan ketiga-tiga rumah berkenaan adalah rumah yang disewa mangsa. Jika tanah sendiri, kita boleh memberi bantuan membina semula rumah.

“Disebabkan itu rumah sewa, kita akan lihat sudut lain seperti memberi bantuan mereka menyewa di tempat lain dengan bantuan disalurkan oleh lembaga zakat dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) jika ada keperluan,” katanya.

Terdahulu, Amirudin meluangkan kira-kira 30 minit untuk melawat tiga keluarga mangsa yang terjejas dalam kejadian itu yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Balai Bomba Sukarela Gombak jam 9 malam tadi.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan dua beradik ditemukan rentung selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi.

Kanak-kanak yang ditemukan rentung dikenali sebagai Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 9, dan adik lelakinya berusia enam tahun Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan.

Difahamkan ketika kejadian, pintu jeriji kediaman berkenaan berkunci dengan ibu bapa mangsa dikatakan tiada di rumah.

(Visited 27 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button