Nasional

Peserta tatu hampir telanjang: Penganjur mohon maaf

KUALA LUMPUR – Selepas berlanjutan beberapa hari, penganjur Tattoo Expo Malaysia 2019, Blackout Trading akhirnya tampil memohon maaf berhubung insiden membabitkan peserta pertandingan tersebut yang muncul dalam keadaan hampir telanjang dan ditularkan di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Pengasas ekspo tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Carlos atau Benny berkata, kejadian tersebut tidak disengajakan. Carlos berkata, pihaknya amat kesal dengan kejadian itu dan berjanji kejadian seumpama itu tidak akan berulang lagi. Menurut Carlos daripada kejadian itu penganjur dapat belajar pelbagai perkara serta kelemahan.

“Bagi pihak jawatankuasa penganjur Tattoo Expo Malaysia 2019, Blackout Trading, kami secara ikhlas meminta maaf atas kecacatan yang berlaku semasa ekpo itu,” kata Carlos dalam satu kenyataan.

Tattoo Malaysia Expo 2019 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 29 November hingga 1 Disember lalu menghimpunkan peserta dari 35 negara telah mengemparkan negara.

Ini berikutan gambar peserta wanita tidak memakai baju dan mendedahkan bahagian dadanya kepada penonton yang hadir untuk memperagakan tatu yang dilukis pada badannya dan gambar peserta wanita yang hanya memakai seluar dalam jenis g-string sedang mencangkung memperagakan tatu yang dicacah pada bahagian punggungnya di sebarkan di media sosial.

Sementara itu, Carlos berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), serta Biro Konvensyen & Pameran (MyCEB) tidak patut dipersalahkan.

Menurutnya, penganjur sememangnya mendapat sokongan daripada MyCeb tetapi pada masa sama mereka gagal memberikan butiran terperinci mengenai aktiviti semasa pameran tersebut.

“Motac dan MyCEB tidak patut dipersalahkan kerana masalah yang disebabkan oleh kami,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohammaddin Ketapi sudah mengarahkan tindakan sewajarnya diambil ke atas penganjur. Menurut Mohammaddin, acara berkenaan telah melanggar tatasusila masyarakat sekali gus tidak mempamerkan wajah sebenar Malaysia.

“Adalah satu yang mustahil bagi kementerian untuk meluluskan sebarang permohonan penganjuran yang ada elemen-elemen lucah seperti itu sebab itu bukan budaya Malaysia, lebih-lebih lagi apabila majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam.

“Kami akan menanti laporan penuh siasatan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka didapati melanggar syarat yang telah ditetapkan,” kata Mohamaddin.-SM

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button