fbpx
Politik

Lantik PM di Parlimen: Peguam Negara perlu beri nasihat betul kepada Agong

PEGUAM Negara Tan Sri Tommy Thomas didesak agar memberikan nasihat yang tepat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan perdana menteri.

Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim menegaskan kuasa melantik perdana menteri hanya berada ditangan Yang di-Pertuan Agong.

Jelas beliau, Dewan Rakyat tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melantik perdana menteri.

Sebaliknya Dewan Rakyat hanya boleh menjadi tempat ahli Parlimen membuat undi percaya atau tidak percaya kepada perdana menteri.

Dalam ciapannya di Twitter, Rais berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sepatutnya sudah boleh membuat keputusan selepas menemuduga 222 ahli Parlimen selama dua hari sebelum ini.


“Kenapa masih ribut-ribut konon Dewan Rakyat akan tentukan siapa jadi perdana menteri pada 2 Mac?

“Kuasa melantik PM di tangan Yang di-Pertuan Agong bukan di Dewan Rakyat. Patut Agong dah buat keputusn hasil dua hari temuduga MP.

“Peguam Negara tolonglah beri nasihat betul kepada YDPA.  Di Dewan Rakyat cuma boleh undi percaya atau tak percaya,” ciap Rais.

Al-Sultan Abdullah telah memanggil 222 ahli Parlimen untuk menghadap Baginda selama dua hari iaitu pada Selasa dan Rabu lalu.

Proses temu bual itu yang dilakukan sendiri Yang di-Pertuan Agong dan disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali bagi mencari penyelesaian kemelut politik yang sedang dihadapi negara ketika ini.

Semalam Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan Sidang khas Dewan Rakyat akan berlangsung pada 2 Mac ini untuk memilih Perdana Menteri yang baharu.

Menurut Dr. Mahathir, Yang di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu memperoleh majoriti yang jelas untuk dilantik sebagai perdana menteri yang baharu.

“Dan kerana tiada yang ada majoriti jelas, (Tuanku) kata ruang yang sesuai adalah Dewan Rakyat.

“Maka Parlimen akan bersidang pada 2 Mac…. siapa yang ada sokongan majoriti di Parlimen akan menjadi perdana menteri.

“Bagaimanapun jika Dewan Rakyat gagal mendapat seorang yang ada majoriti, kita perlu lalui pilihan raya,” katanya dalam sidang media selepas membentang Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya semalam.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button