Nasional

Mufti Kelantan tidak sebut ‘berdikir’ sambil menari bukan amalan di Kelantan

Mufti Kelantan menyebut kepada media bahawa ‘berzikir’ sambil menari secara keterlaluan bukan amalan di Kelantan.

Maka apabila menyebut amalan ‘berzikir’ sambil menari atau nampak seakan-akan menari, sudah pasti ia ditujukan kepada umat Islam.

Takkanlah istilah zikir itu digunakan kepada mereka yang beragama Hindu, Budha, Kristian dan sebagainya.

Kena pula warga media pun sama alirannya, sekadar belajar agama di sekolah pendidikan nasional dan tidak sempat merasai manisnya iman dan syoknya berzikir atau berselawat, spekulasi buruk senang terjadi.

Maka berdasarkan kenyataan mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, majoriti umat Islam yang membaca artikel dari media, berpegang untuk beribadah, perlu diperlahan-lahankan, tidak dilebih-lebihkan.

Tujuannya untuk mengelakkan fitnah ke atas agama dan sebagainya namun jika diperhalusi, di sinilah kepincangan masyarakat berlaku.

Umat Islam akhir zaman cuma melihat zikir sebagai salah satu ibadah dalam mengingati Allah dan tidak melihat segala urusan dunia adalah hanya untuk Allah.

Maka doktrin pemisahan agama daripada kehidupan diperkenalkan sejak dahulu lagi, sejak sebelum 1957, sejak sebelum 2023 dan kesannya dapat dilihat pada hari ini.

Melihat wanita memakai baju ketat dan membuat kandungan dalam media sosial, dianggap kerosakan akhlak. Adakah tindakan undang-undang diambil untuk perbetulkan masalah umat ini? TIADA.

Bersorak kegembiraan sehingga menggerak-gerakkan badan ibarat menari di dalam stadium ketika menonton bola, dianggap sebagai sokongan acara sukan sahaja, bukan ibadah.

Berpesta dalam konsert-konsert tempatan atau jemputan artis luar negara, dianggap sebagai pesta hiburan, bukan majlis ibadah. Adakah Mufti sentiasa memberi peringatan? TIDAK.

Tularnya video umat Islam bergembira dengan zikir, sehingga naik asyik, perasaan jadi bergelojak manis mengingati Allah, dianggap bidaah, pembaharuan dalam agama yang Nabi Muhammad SAW tidak buat katanya.

Sedangkan tujuan manusia dicipta, dilahirkan dari perut seorang ibu, adalah untuk beribadah kepada Allah. Mengapa apabila ada umat Islam bergembira dengan zikir dan selawat, kita tertawakan mereka?

Ramai umat Islam yang kaki konsert, kaki stadium, hatta kaki dikir sekali gus.. menuduh mereka yang sedang berpesta, mabuk dengan selawat serta zikir adalah sesat dan dilaknat Allah?

Subhanallah.. fikirkanlah tujuan manusia ini dicipta dan ancaman akhir zaman yang sememangnya sudah disusun agar umat Islam lemah dan lebih percaya pada logik dunia berbanding manisnya berseronok dengan zikir.

Maka berbalik kepada tajuk di atas, apakah benar Mufti Kelantan tidak sebut ‘berdikir’ sambil menari bukan amalan di Kelantan, sudah pasti ia satu kenyataan yang betul.

Hanya umat Islam di Kelantan majoriti mengangkat persembahan dikir sebagai satu aspek budaya, yang dimulakan dengan salam dan sebagainya.

Maka dikir adalah satu persembahan yang menggerak-gerakkan badan secara berkumpulan, tidak dianggap sebagai bidaah sebaliknya cuma budaya sahaja.

Jika itu konotasinya, maka zaman Nabi Muhammad SAW pun tiada dikir, siapa perkenalkannya? Namun atas kebijaksaan orang-orang Melayu Kelantan dahulu, dalam budaya, dalam kehidupan pun, diterapkan nilai murni.

Bermula dengan salam, liriknya penuh dengan mesej dan nasihat, maka tukang-tukang dikir secara tidak langsung sedang menjalankan proses ‘ibadah’ itu.

Mungkin topik ini berat buat netizen yang sekadar ambil peperiksaan subjek agama Islam di sekolah kemudian hafal untuk lulus SPM dan sebagainya.

Kerana belajar subjek agama Islam di sekolah sekadar syarat untuk jayakan doktrin belajar pandai-pandai, dapat pekerjaan yang baik.

Bukan sebagai penekanan khusus di peringkat nasional untuk melahirkan umat Islam di Malaysia yang kukuh ilmu feqah, tauhid dan tasawwuf dalam mengingati Allah dan mencintai Nabi Muhammad.

Dapat sesuatu? Kongsikan kepada mereka yang cepat melenting akibat dipengaruhi doktrin cinta dunia secara melampau sejak usia muda sehingga kini.

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button