fbpx
Politik

Lagi ahli Parlimen nafi dakwaan Tun M

SEMALAM tujuh orang. Hari ini lapan lagi ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) daripada UMNO yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan mereka ‘hilang’ parti seperti dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menerusi kenyataan bersama yang diketuai Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tersebut, mereka menjelaskan, tidak pernah berniat untuk meninggalkan parti UMNO.

“Seperti dinyatakan tujuh ahli Parlimen BN semalam, kami turut menafikan dakwaan kononnya pemimpin UMNO sudah hilang parti dan tidak pasti apa perlu dilakukan, sama ada hendak lompat parti atau tidak.

“Kami boleh sahkan, tidak pernah sekalipun pendirian sedemikian disebut oleh mana-mana ahli Parlimen BN semasa pertemuan tersebut.

“Malah, seperti dinyatakan berulang kali sebelum ini, kami langsung tidak berniat tinggalkan parti, apatah lagi sertai parti lain,” kata kenyataan itu.


Selain Hishamuddin, tujuh lagi ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Hasbullah Osman (Grik), Datuk Mohd. Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin), Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib (Maran) dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Dalam kenyataan bersama itu, mereka turut menafikan ada membincangkan isu berkaitan peralihan kuasa Perdana Menteri.

Sebaliknya, mereka mempelawa pemimpin Pakatan Harapan (PH) menyertai UMNO dan BN  berikutan penolakan rakyat terhadap PH.

“Kita boleh bersama-sama pulihkan semula negara, yang berdepan pelbagai masalah sejak PH memerintah.

“Dan lebih penting, kembalikan negara pada landasan yang boleh menjamin masa depan rakyat, anak dan cucu-cicit kita,” kata mereka.

Semalam, tujuh ahli Parlimen BN daripada UMNO yang terbabit dalam pertemuan tersebut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu bahawa mereka mengadu sudah ‘hilang’ parti.

Sebaliknya dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sejurus dakwaan Perdana Menteri tersebut, mereka menegaskan pertemuan itu adalah bagi membincangkan isu pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing.

Mereka ialah Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau), Datuk Salim Sharif (Jempol), Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu), Ramli Mohd. Nor (Cameron Highlands), Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis) dan Datin Mastura Mohd. Yazid (Kuala Kangsar).

Hishammuddin ialah individu yang didakwa mengetuai pertemuan lebih 20 ahli Parlimen BN di kediaman Mohamed Azmin di Putrajaya bagi menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri baru-baru ini.

Show More

Related Articles

Back to top button