Politik

Kita semua ada maruah kerana dilahirkan dari parti yang bermaruah – Ketua Puteri UMNO

Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan pada Persidangan Puteri UMNO

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…

Sekali lagi saya ingin mengalu-alukan para perwakilan semua. Saudari adalah wirawati kental yang mencipta
sejarah. Berjaya mengharungi badai besar yang melanda parti kita setelah kekalahan mengejut tahun 2018.

Tahun lepas kita berhimpun dalam keadaan suram. Ramai yang menangis. Ramai antara kita yang kecundang
meninggalkan perjuangan. Ramai juga yang kecewa dan lemah semangat. Ada yang menyerah kalah dan ada
yang menyerah maruah kepada lawan. Tahun ini kita datang dengan semangat yang luar biasa.
LAWAN TETAP LAWAN!! LAWAN TETAP LAWAN!!

Saya percaya, para perwakilan yang berada dalam dewan ini adalah antara pejuang yang cekal. Yang yakin dan
sabar. Yang percaya, putaran roda akan meletakkan kita kembali di atas. Yang percaya, gelap akan kembali
menjadi terang.

Terbukti hanya selepas setahun berlalu, badai yang melanda semakin lemah dan angin pun bertukar arah.

Pilihanraya Kecil yang terakhir membuktikannya. Angin perubahan turun dari gunung Cameron Highland,
menerjah ke Semenyih dan seterusnya melanda Rantau.

Paling terakhir, hanya beberapa minggu yang lalu, kita mencatatkan sejarah yang paling manis dan luar biasa di
pantai Tanjung Piai.

Salam 15 Ribu. Salam…….(perwakilan sambut), saya ucapkan kepada semua wirawati dan para pejuang yang
bertungkus lumus menyumbang kepada kemenangan besar calon Barisan Nasional. (Berikan tepukan gemuruh
kepada diri kita semua).

Ternyata BN tidak mati, dan BN, tidak boleh dimatikan dengan mudah. Tanpa kuasa pun, kita masih boleh
bertahan dan semakin mendapat sokongan yang kuat.

Kemenangan demi kemenangan kita, membuktikan, lawan tidaklah sekuat mana pun. Walaupun bersandarkan
kuasa dan wang, benteng pertahanan mereka rapuh. Topeng kepalsuan mereka terdedah. Janji kosong mereka
memakan diri sendiri.
Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Yang Kak Ida Sayangi,

Rekod pemerintahan mereka ialah mencipta kesusahan demi kesusahan kepada rakyat. Kos sara hidup terus
meningkat, pelabur kita lari, bisnes lembab, pengangguran terus meningkat dan pelbagai bentuk bantuan
kerajaan pula di kurangkan. Pasaran saham kita jatuh paling teruk dalam sejarah dan paling teruk dalam dunia.

Bahkan, Indeks Laporan Kebahagiaan Dunia 2019 atau ‘World Happiness Index’, menyatakan Malaysia jatuh
daripada tangga 35 ke tangga 80. Kajian dikalangan 156 negara ini di buat oleh Agensi Bangsa-bangsa Bersatu.
Bukan UMNO yang kata. Agensi PBB yang kata. Ia adalah satu kejatuhan yang begitu teruk dan amat memalukan.
Ertinya rakyat semakin tidak gembira dibawah pemerintahan kerajaan baru.

Lebih mengejutkan, satu kajian dibuat oleh satu badan bebas di negara kita, EMIR Research, mendedahkan
kebimbangan Nasional, atau ‘National Worry Index’ berada di tahap yang maksima. Rakyat sangat resah terhadap
masa depan ekonomi dan keselamatan negara kita. Semua ini berkaitan dengan ketidakupayaan kerajaan PH
menerajui negara ini. Rakyat melihat, kerajaan hari ini seperti perahu hanyut tanpa arah.

Politik peralihan kuasa sangat-sangat memeningkan rakyat dan pelabur. Di kalangan mereka, kelihatan jelas
perbalahan yang tak boleh dilindungi antara parti dan di dalam parti komponen mereka.

Bila berbalah dan bergaduh, mereka basuh kotoran mereka di khalayak ramai. Mereka dedah aib sesama sendiri.
Istilah yang tak pernah kita dengar pun, timbul, kerana perbalahan sesama mereka. (sem……..bilu tak sembilu
pun semua keluar).

Saya nak tanya, kalau kita nak bagi gred pemerintahan mereka? Apa gred yang layak kita bagi kepada mereka?
A? Atau B? Atau C atau D? Atau terus F, FAIL???? Benar mereka gagal! (interaksi dengan perwakilan)
Saudari-Saudari,

Lihat sahaja nilai ringgit kita. Apakah makin kukuh atau makin merosot? (interaksi dengan perwakilan). Dulu
sebelum PRU-14, untuk kita dapatkan 1 US Dolar perlukan kira-kira hanya RM3.90. Hari ini, angka ini sudah
mencecah RM4.20. Bunyi memanglah sen-sen sahaja setiap 1 dolar, tetapi apabila perdagangan negara
melibatkan beratus bilion dolar berapa banyakkah rakyat dan negara rugi di atas kejatuhan nilai ringgit ini.

Dulu mereka kata, Najib turun, ringgit naik. Najib dah turun pun kenapa ringgit tak naik-naik lagi? Hari ini rakyat pula boleh berkata, PH lah yang kena turun, barulah ringgit akan naik kembali.

Ingatlah bila ringgit merosot, bukan sekadar nak pergi Umrah, nak pergi Haji, atau nak pergi Hatyai pun semakin
mahal, tetapi semua barang kita yang berkaitan dengan impot pun menjadi lebih mahal.
Benar, ayam kita yang ternak, tetapi makanan ayam semua diimpot akan menjadikan harga ayam dipasar jadi
mahal.

Benar, padi kita yang tanam, tetapi komponen baja banyak diimpot, maka kos pengeluaran pertanian kita turut
menjadi lebih mahal lagi.

Saudara-Saudari Yang Kak Ida Sayangi,

Selain kegagalan ekonomi, mereka turut gagal dari segi melaksanakan reformasi institusi seperti yang dilaunglaungkan sebelum ini.

Dulu, mereka kata Suruhanjaya Pencegah Rasuah mesti bebas dari pengaruh Politik. Semua itu sudah menjadi
cerita dongeng.

Lantikan Politik lebih teruk dari dulu, dan, pendakwaan terpilih dibuat sesuka hati. Badan ini tak lebih dari alat
memuaskan nafsu dendam kesumat mereka yang tidak berkesudahan.

Mana Bersih? Mana Bersih yang dulunya berarak dan melalak dijalanan??, Mana Bersih? Mana Bersih yang
dulunya berguling-guling dijalanan?? Sekarang ni bayang pun tak nampak. Dah jadi bisu ke atau dah jadi arwah??
Arwah dulu baik orangnya. (nada menganjing).

Kenapa kes rasuah Menteri Kewangan, yang sudah pun dibicara di mahkamah ditarik balik? Kalau tak bersalah,
jawablah di depan Hakim.

Kenapa pendakwaan terhadap mereka yang menyembah senapang LTTE ditarik balik? Atas alasan yang sama,
sepatutnya mereka berusaha membebaskan Siti Aisyah yang merengkok dalam penjara kerana hanya memiliki
beberapa naskah dokumen tertentu. Mana rule of law mereka.

Arwah Adib, mana perginya keadilan untuk Adib? Berapa lama lagi kita perlu tunggu untuk mendengar
pendakwaan terhadap mereka yang membunuh Adib.

Mungkin bagi mereka, membawa pulang abu Chin Peng, yang mengetuai pengganas komunis, yang membunuh
ribuan Polis, Tentera dan orang awam dalam mempertahankan kemerdekaan dulu, jauh lebih penting dari
keadilan untuk arwah Adib?

Kenapa jadi begitu? Kerana apa sahaja kemahuan dan apa saja impian pemimpin DAP pasti akan jadi kenyataan?
Kenapa jadi begitu? Kerana di kalangan mereka ramai yang melihat pejuang kemerdekaan, bukanlah Dato’ Onn,
bukanlah Tunku Abdul Rahman tetapi orang seperti Chin Peng dan mereka yang bersamanya di dalam hutan
belantara 60 tahun dahulu.

Kenapa jadi begitu? Kerana di sana ramai pemimpin Melayu, termasuklah yang menjaga Kementerian
Pertahanan memilih untuk berdiam diri dalam isu ini.

Ini adalah politik khadam. Khadam tidak akan sama sekali menyanggah tuannya. Menjaga hati tuannya yang
terdiri daripada orang-orang DAP adalah lebih penting daripada menjaga hati para perajurit yang bermati-matian
dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

Jelas, seperti khadam, hidung mereka dicucuk, dan, mulut mereka sudah dikunci rapi.
Sidang Perwakilan Yang Kak Ida Kasihi Sekalian.

Dulu, mereka kata tidak ada politik kroni. Namun hari ini, politik kroni semakin menjadi-jadi. Perlantikan orangorang politik menerajui GLC semakin parah dan sama sekali bertentangan dengan apa yang dicanangkan dulu.

Kes Pertubuhan Peladang atau Nafas adalah bukti terakhir. Mereka pinda peraturan bagi membolehkan Menteri
melantik kuncu-kuncunya mengatasi suara demokrasi para petani. Suara petani tidak lagi datang dari petani,
sebaliknya dari kalangan orang-orang parti mereka yang belum tentu memihak kepada petani.

Kesalahan kecil, kalau dihimpunkan menjadi besar. Kesalahan besar kalau dihimpunkan akan menjadi
gelombang besar kebencian rakyat. Gelombang kebencian inilah yang ditunjukkan dalam EMPAT PRK yang
terakhir.

Bagi rakyat, jelas, Pakatan Harapan tidak tahu memerintah dan terus berlagak seperti masih jadi pembangkang
lagi. Apabila bermasalah dan tidak mampu menyelesaikan masalah, mereka tidak habis-habis menyalahkan
kerajaan lama. Sudah-sudahlah, rakyat dah bosan.

Sebab itu rakyat menggesa. Cukup-cukuplah menyalahkan kerajaan lama, tunjukkanlah prestasi kamu. Sekarang
Parlimen yang dikuasai mereka pun selalu tak cukup korum.

Bila kita tanya kenapa selalu ponteng? Ramai di kalangan mereka yang kata, tak tahan letih, tak tahan sejuk,
duduk dalam Parlimen tak tahan sejuk. Baru kita tahu, kenapa mereka kuat kencing? Rupanya tak tahan sejuk
Mat-mat Kencing ni! Kalau dah tak tahan sangat, tunggu apa lagi? BUBARLAH PARLIMEN CEPAT-CEPAT!!!.
Boleh jadi pembangkang semula.

Saudari-Saudari Sidang Perwakilan,

Di saat rakyat menunggu dasar dan program baru mereka, para Menteri pula terus berlumba-lumba membuat
lawak besar!

Masalah kejatuhan harga sawit di ajaknya kita minum sawit. ‘Kak Ida nak tanya dekat adik-adik semua, dah
minum sesudu sawit ke belum pagi ni?’ (interaksi dengan perwakilan).Kemudian, ada Menteri mereka pula
buka cerita ‘elephant fights elephant’. Bila ada masalah pekerja, ada Menteri mencadangkan ambil pekerja dari
Afrika pulak! Nasib baik hasrat ini tak jadi, sebab kita semua bising. Kalau rakyat tak bising, bayangkan, apa
terjadi negara ini bila dibanjiri oleh tenaga kerja Afrika? Aduh! Matilanak! (gaya pegang kepala).

Menteri kasut hitam pulak tak habis-habis buat lawak besar. Cuba alih perhatian dengan cipta perbalahan sesama
sendiri fasal tulisan jawi. Mereka yang buat masalah, tetapi sebagai khadam, akhirnya tunduk kepada kemahuan
tuannya.

Ada Menteri muda yang memang pandai sangat berlakon, waktu tertentu jalan tempang-tempang. Baru-baru ini
nak tunjuk keras, nak tunjuk hero dengan tuan mereka dari DAP yang hina Perdana Menteri Malaysia sebagai
paper tiger. Harimau Kertas. Maksudnya PM kita tak ada taring dan tak boleh buat apa-apa. Menteri muda ini beri
amaran kepada pemimpin biasa DAP ini agar tarik balik penghinaan kepada Perdana Menteri Malaysia tadi. Kita
pun semua tunggu apa tindakan.

Rupanya-rupanya, mana boleh khadam beri amaran kepada tuannya? Nasib baik dalam kes ini, khadam ini tak
dijual. Sebab itu amaran tinggal amaran. Habuk pun tak ada. Akhirnya, Menteri ini pun jadi harimau kertas,
KERTAS TISU. Lebih lembut dari kertas biasa!

Lebih melucukan, ada pula Menteri kereta terbang, tetiba, kereta terbang tak jadi terbang. Lepas itu ada hati nak
buat projek kereta terbang kedua pulak? Yang pertama pun tak jadi, nak buat yang kedua pulak?

PH punya sembang, babi pun boleh terbang. Nun di Melaka sana. Ada pula pemimpin mereka dianugerah, juara
tembak babi.

Pendek kata, PH, bukan sahaja hancing, tetapi sudah jadi badut lawak jenaka.

Ternyata setiap hari lebih banyak mereka bersuara lagi jatuh ringgit kita. Lagi banyak mereka nak jadi juara
antarabangsa lagi merudum harga kelapa sawit kita.

Mereka sudah hilang kepercayaan rakyat! Noktah! Tidak ada dan, tidak ada atau, tidak ada tapi.

Kata orang, memang benar, mereka berada di landasan yang betul. Landasan menjadi kerajaan satu penggal!
Saudara-saudari,

Di saat meraikan kemenangan, Pergerakan Puteri akan terus mengingatkan kita semua jangan pula kita terlalu
yakin. Ingatlah! “Over Confidence” boleh memakan diri.

Kita tidak boleh bersandarkan kemenangan kita semata-mata kepada kebencian rakyat terhadap kerajaan
sekarang. Sebaliknya ia mesti bersandarkan kepada asas dan kekuatan kita sendiri yang betul dan kukuh.

Formula Muafakat Nasional ternyata membawa berkat. Kepada orang Melayu dan ummat Islam, Inilah saat yang
paling indah yang pernah kita rasakan.

Perpaduan politik antara PAS dan UMNO diharapkan dapat menamatkan persengketaan dan perpecahan umat
yang sekian lama dirasakan. Sebahagian besar dari kita membesar dalam dunia yang ada garisan pemisah
antara orang PAS atau orang UMNO. Baik di kampung atau pun bandar. Baik di sekolah atau pun masjid. Baik
masa kematian atau pun kenduri-kendara.

Cukup-cukuplah. Sekarang ini masa berdamai. Cukup-cukuplah. Sekarang ini masa untuk membina kehidupan
baru.

Ajaran Islam, mengajar kita erti persaudaraan. Jangan lagi kita benarkan ia ditenggelami oleh perbezaan politik
kepartian antara kita.

Mungkin inilah hikmah kekalahan kita dalam PRU yang dulu. Allah memberi petunjuk untuk kita sama-sama
memadamkan garis pemisah ini. (kita alu-alukan kehadiran Ameerah). (Terima kasih kepada YB Zuraida dan
Jawatankuasa Ameerah)

Terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan semua usaha ke arah termeterainya
piagam Muafakat Nasional ini.

Kita harapkan semoga usaha ini terus diberkati dan berjaya. Ini akan merubah landskap struktur masyarakat kita
kepada suatu kekuatan baru yang dihormati kawan dan lawan.

Kita harapkan Muafakat tidak sekadar terhenti kepada agenda persefahaman politik semata-mata. Ia mesti
menjadi ikhtiar Nasional untuk kita mendalami semua kaedah yang berkaitan dengan penyelesaian permasalahan
Nasional.

Ini termasuklah soal membasmi kemiskinan dan soal keadilan sosial. Juga mengenai isu kemanusiaan, sistem
pendidikan dan pembinaan negara bangsa dan juga perkara-perkara yang menyentuh isu federalisme, isu alam
sekitar dan hubungan antarabangsa kita.

Hubungan baik UMNO dan PAS pasti menakutkan musuh-musuh politik kita. Di atas kertas kita sudah boleh
menghitung kerjasama dua parti terbesar orang Melayu ini akan mencatatkan kemenangan lebih banyak kerusi
Parlimen dan DUN di seluruh Negara.

Saudari-Saudari Sidang Perwakilan Sekalian,

Muafakat telah bertapak di landasan yang betul. Kemenangan di Tanjung Piai telah memberi gambaran baru,
bahawa kerjasama ini bukan kerjasama rasis dan perkauman sempit. Muafakat memberi ruang untuk suara dari
masyarakat bukan Melayu dan NonMuslim di dalam politik tanah air.

Ribuan penyokong UMNO dan PAS berkampung di sana untuk memastikan kemenangan calon dari MCA telah
membuktikan Muafakat Nasional bukanlah muafakat rasis. (mari kita alu-alukan Beliawanis MCA).

Jangan bimbang, Melayu bersatu bukan untuk menindas orang lain. Melayu bersatu akan mewujudkan suasana
kesederhanaan yang pasti dialu-alukan oleh semua pihak. Sebab itu di Tanjong Piai, apabila Melayu bersatu dan
sedia membantu calon bukan Melayu, jumlah undi yang kita terima bukan lagi berasaskan matematik mudah, iaitu
jumlah undi BN dicampur jumlah undi PAS. Kalau dari segi matematik mudah, kita sepatutnya menang sekitar dua
ke tiga ribu undi sahaja. Apa yang terjadi, jumlah sebenar yang kita perolehi lebih dari itu. Bahkan bergandaganda.

Ini semua petunjuk Tuhan yang tak pernah kita fikirkan sebelum ini.

Kemenangan besar di Tanjung Piai adalah keyakinan baru kita, mengenai persepsi politik kaum negara ini.
Selama ini persepsi umum, BN hanya bergantung kepada undi Melayu, manakala undi bukan Melayu hanya
berpihak kepada PH.

Ternyata tanggapan ini tidak semestinya benar. Semua boleh berubah. Dalam politik tidak ada yang kekal
selamanya.

Muafakat adalah asas naratif baru politik tanahair. Bahkan bakal mencetuskan “National Discourse” pada skala
dan impak yang tidak pernah terlihat sebelum ini. Ia mesti diterapkan ke bawah sebagai asas ideologi pergerakan
kita.

Langkah kita seterusnya ialah untuk turun mengenengahkan falsafah Muafakat ini kepada anak-anak muda.
Generasi baru yang akan sama-sama kita bina.

Pergerakan Puteri ialah PERGERAKAN ANAK MUDA. Muafakat harus dijadikan trend anak muda. Muafakat
mesti menjadi brand baru anak muda kita. TREND dan BRAND ini adalah asas gerak kerja kita selepas ini.

Kita sedar, Muafakat di peringkat atasan adalah lebih mudah dilaksanakan berbanding di peringkat akar umbi.
Perpecahan di kalangan masyarakat adalah jauh lebih mendalam berbanding di peringkat atasan.

Sebab itu, selepas ini kita akan sama-sama memastikan Pergerakan Puteri bersama dengan Ameerah PAS dan
sayap-sayap muda dalam parti-parti komponen lain bergerak ke bawah. Kita akan sama-sama menganjurkan
berbagai program dialog dan forum. Dan kita juga akan sama-sama mengukuhkan keyakinan anak muda negara
ini supaya mampu mencari titik persamaan dibawah gagasan Muafakat Nasional ini.

Saudara-saudari,

Kita telah bersetuju, usia baru mengundi diturunkan ke usia 18 tahun. Bahkan melalui ahli-ahli parlimen kita, kita
mensyaratkan hak ini diberi secara automatik.

Untung rugi parti politik sudah semestinya akan di congak kembali dengan limpahan pengundi muda. Gelanggang
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sudah pasti akan ditentukan oleh pengundi muda. Dijangkakan dalam tahun
2023, dengan perubahan ini keseluruhan pengundi kita sekitar 23 juta orang berbanding 14.9 juta dalam PRU-14.
Ini adalah peningkatan sebanyak 50 peratus. Satu peningkatan yang amat besar untuk kita semua. Ini bermakna
tanggungjawab Pergerakan Puteri akan bertambah.

Pastinya ini menguntungkan kita semua. Semua PRK yang terakhir menunjukkan anak muda sudah bersama kita.
Dulu kita risau, saluran 3 ke bawah tidak memihak kepada kita. Tapi kini, apa yang berlaku, kalau ada sembilan
saluran, saluran 9 pun kita menang.

Kita juga kena cekap dan sentiasa peka kepada masalah yang dihadapi anak muda. Masalah anak muda sangat
pelbagai dan sangat kompleks. Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan pada suku pertama 2019, seramai
500,000 penganggur. Termasuk hampir 200,000 siswazah mendaftar sebagai pencari kerja aktif. Bahkan setiap
tahun, puluhan ribu graduan dan lulusan pusat-pusat pengajian akan muncul memasuki pasaran
pekerjaan.Ternyata soal peluang pekerjaan adalah persoalan yang sangat kritikal.

Selain pekerjaan, mereka memerlukan hak yang lebih supaya suara mereka di dengar. Mereka mengemukakan
hal-hal lain yang berkaitan dengan identiti dan keadilan sosial. Mereka ada pandangan mereka tersendiri
mengenai masa depan negara ini. Dan di era maklumat di hujung jari, setiap pandangan dan persoalan
memerlukan jawapan segera yang bersifat ‘real time’. Acuan mereka sudah tak sama dengan acuan orang-orang
terdahulu kita.

Sebab itu, kita dan parti mesti bersedia menghadapi ‘generational change’ atau perubahan generasi yang
drastik. PRU-15 adalah PRU anak muda. Siapa yang paling bijak melakari naratif untuk anak muda, merekalah
yang akan menguasai negara ini.

Yang penting ialah, bagaimana kita membawa naratif mudah kepada permasalahan yang kompleks tadi.
Adik-adik Sidang Perwakilan Sekalian

Dalam menghadapi pilihanraya, sudah ramai yang bertanya, apakah bentuk manifesto baru yang akan kita
kemukakan? Tanpa manifesto seolah-olah kita tak boleh masuk pilihanraya kerana ramai yang menganggap
manifesto adalah Rukun Pilihanraya.

Sebagai mewakili pandangan anak muda, saya ingin meminta pihak parti lebih berhati-hati dengan istilah
manifesto ini.

Di luar sana ramai yang sudah menyatakan rasa mual dan rasa muak dengan perkataan manifesto. PH telah
mengotorkan istilah manifesto kerana anak muda merasa tertipu dengan manifesto yang berjela-jela tetapi hanya
alat pembohongan untuk mendapatkan kuasa jangka pendek.

Bagi kami, apa yang lebih penting ialah membina naratif baru mengenai rekod kejayaan perjalanan asal kita yang
terhenti setelah kekalahan PRU ke-14.

Kita tidak pernah menjanjikan PTPTN dihapuskan. Tetapi kita perlu mengingatkan pelbagai diskaun yang pernah
kita berikan. Diskaun 20 peratus kepada mereka yang melangsaikan semua baki hutang, diskaun 10 peratus
kepada mereka yang melangsaikan sekurangnya 50 peratus baki hutang dan diskaun 10 peratus kepada mereka
yang membuat potongan gaji. Yang paling pelik dalam bajet kerajaan baru 2020 tak ada kedengaran pulak pasal
PTPTN. Agaknya semua dah buat bayaran balik kot.

Kita tidak pernah menjanjikan pendidikan percuma tetapi track rekod kitalah yang paling banyak membina sekolah
dan institusi pengajian dan Universiti yang tidak terlalu membebankan untuk semua.

Kita tidak menjanjikan perkhidmatan kesihatan yang mewah, tetapi rekod perkhidmatan kesihatan kerajaan kita
adalah antara yang terbaik dan paling memampukan. Dahulunya dengan bayaran 1 ringgit dan percuma bagi
warga emas rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik. Ini menjadi bahan cemburu di kalangan rakyat
negara-negara lain dirantau ini dan kita akan terus memperbaiki rekod ini.

Idea UTC yang menjadi pusat sehenti mengendalikan pelbagai jenis perkhidmatan kerajaan nampaknya mudah,
tetapi dalam dunia, kitalah satu-satunya model yang tidak ada di negara lain. Ini idea Barisan Nasional. Idea kita
semua.

Kita tidak lagi menjanjikan rumah percuma, tetapi kita akan meneruskan program PRIMA, SPPMB, perumahan
kakitangan awam dan sebagainya. Bahkan kita tidak akan ikut dasar perumahan mereka untuk menjadi broker
pemaju perumahan dengan menggalakkan warga asing datang membeli rumah-rumah mereka yang tidak laku.

Saudari-Saudari,

Kita tidak menjanjikan kereta terbang yang kononnya boleh membawa kita dalam masa satu jam ke Pulau Pinang,
tetapi kita bercakap falsafah asas pengangkutan awam, termasuk MRT, LRT, ECRL dan keretapi laju yang
sedang kita bina tetapi dibantutkan oleh kerajaan sekarang. Kita percaya untuk menjadi negara yang maju kita
mesti wujudkan sistem perhubungan darat dan udara yang efisien dan selamat.

Bahkan kita beritahu rakan-rakan kita bagaimana inisiatif dan komitmen kerajaan dahululah, kita akan melihat
lebuhraya Pan Borneo merentasi kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak. Lebuhraya tanpa tol itu pasti
menjadi ‘game changer’ terbesar kepada rakan-rakan kita di sana.

Kita perlu jelaskan kepada anak-anak muda apa yang dibuat oleh kerajaan kita dahulu sudah molek dan hanya
perlu dipermolekan serta diteruskan bukan dirobohkan. Tidak perlu ‘new deal’. Banyak perkara telah ‘done deal’.

Kita perlu memberitahu kepada anak-anak muda ini, bahawa di sebalik setiap projek-projek besar kerajaan BN
dahulu, di situ lahirnya ratusan ribu peluang pekerjaan baru untuk mereka dalam pelbagai bidang.

Kita perlu beritahu mereka apabila ada pekerjaan untuk mereka, limpahan dan kesan bergandanya akan turut
dinikmati oleh jutaan rakyat lain di bawah sana.

Kita tak perlu bercakap tawaran baru untuk membantu petani dan nelayan, kita telah bantu dan akan terus bantu
mereka, kerana banyak bantuan telah ditarik balik dengan rakusnya oleh kerajaan hari ini.

Kita tidak bercakap menambahkan kegiatan ekonomi rakyat dengan retorik bodoh, tetapi kita telah buat BRIM,
baucer buku, pelbagai program pembangunan usahawan yang pernah dan akan kita pergiatkan lagi di masa
depan.

Kita tak perlu bercakap seperti yang dijanjikan oleh pemimpin PH yang menang sahaja pilihanraya semua pekerja
kita di Singapura boleh pulang kerana ada satu juta peluang pekerjaan baru akan diwujudkan di sini. Kita hanya
perlu beritahu anak muda kita, retorik bodoh itu adalah palsu, kalau tidak kerana, mereka yang menghentikan
pelbagai projek dan program besar kita dahulu pastinya tidak ramai yang hilang pekerjaan dan ekonomi kita tidak
menjadi selembab ini.

Kita ingatkan anak-anak muda kita, betapa dahulunya di peringkat antarabangsa kita dihormati. Malaysia menjadi
destinasi pelaburan yang disenangi. Orang membeli barang keluaran kita, orang membeli sawit kita, orang
membeli durian kita, kerana orang menyanjungi kita kerana kita tahu berkawan dengan orang dan tahu membawa
diri di tengah-tengah masyarakat antarabangsa.

Untuk melihat Malaysia kembali hebat dan gemilang hanya dengan mengizinkan Barisan Nasional memerintah
kembali bersama Muafakat Nasional.

Saudari-Saudari,

Tahun lepas dalam ucapan sulung saya, Kak Ida menekankan 5S (Solidariti, Sinergi, Survival, Sukarela, Strategi)
dan 3P (Perkaderan-Penguasaan Media Sosial- Penyemaian Aktivisme) sebagai agenda besar kita. Alhamdulillah,
agenda tersebut masih diteruskan hingga kini.

Sesuai dengan tagline ‘Voice of Puteri’ dan bagi meneruskan kesinambungan 5S dan 3P. Menyahut
saranan YB. Timbalan Presiden ketika perasmian serentak Wanita, Pemuda dan Puteri semalam. Pergerakan
Puteri telah bersetuju menjadikan 3S dan SC sebagai ‘road map’ pada tahun ini.

Kita kumpulan pendesak muda yang memahami denyut nadi orang muda. 3S’ (Story Board – Story
Line- Story Telling) atau Papan Cerita- Jalan Cerita- Penceritaan.

3S’ akan dijadikan naratif Puteri mempengaruhi pola fikir anak muda. Story Board dan Story line yang
dekat di hati anak muda akan di cipta dan diulang-ulang secara konsisten. Di masa yang sama adik-adik Puteri
akan digilap kemahiran Story Telling agar penyampaian dan pengucapan mereka lebih berimpak. Pemantapan
Story Telling akan dilakukan di peringkat negeri, bahagian dan PDM bagi melahirkan penceramah, pemidato dan
pendebat yang ada aura mempengaruhi, yang membawa naratif Story Board dan Story Line yang seragam dan
dekat di hati anak muda.

Penyampaian bukan hanya secara bersemuka. Penubuhan Skuad Cyber (SC) akan mengukuhkan
Pergerakan Puteri di alam maya dan menjadi medium baharu Puteri berinteraksi dengan anak muda. SC akan
memaksimumkan media sosial sebagai agen penerobos minda anak muda. Skuad Cyber inilah KADER kita.
Merekalah yang sepatutnya menguasai mana-mana platform debat di media sosial di negara ini.

C.R.I.N.T (Content Creator- Research- Issue Based- Networking Influences-Youth Trend) menjadi
naratif Skuad Cyber Puteri. Dimulakan dengan pembangunan kandungan dan penyelidikan setiap isu yang
berkaitan dengan kepentingan negara dan anak muda. Skuad Cyber akan optimumkan penyebaran isu melalui
jaringan dan pengaruh media sosial mengikut citarasa anak muda. C.R.I.N.T akan menjadikan Skuad Cyber lebih
terarah dan berfokus dalam gerak kerja dan menjadi skuad Viraliti Puteri UMNO.

3S’ dan SC akan terbantut jika kita tidak memfokuskan kepada belia dan beliawanis sebagai kumpulan
sasar kita. Bagi menarik lebih ramai anak-anak muda bersama kita, Pergerakan Puteri telah bersetuju anak muda
yang berumur 16 tahun secara automatik boleh menjadi ahli Pergerakan Puteri UMNO.

Saudari-Saudari,

Ingatlah pemerintahan Barisan Nasional selama ini adalah untuk rakyat. Hanya yang mudah tertipu sahaja
menerima dakyah bodoh yang mengatakan 62 tahun negara ini dirosakkan oleh kita. Sebaliknya kita tanya
mereka, tanpa Barisan Nasional, siapakah yang selama ini memberi kemakmuran dan ruang yang besar
kepada kemajuan yang dinikmati bersama.

Namun jangan terperanjat hanya dalam masa yang singkat, di atas kelembapan kerajaan hari ini, prestasi
negara kita akan cepat dipintas oleh Vietnam, Indonesia, Thailand dan negara-negara lain di rantau ini.

PH bukan sahaja gagal memenuhi janji 100 hari mereka, bahkan dalam satu setengah tahun, kita tidak nampak
sebarang pembaharuan yang boleh mereka banggakan.

Hutang negara bertambah secara mendadak. Tabung rezab Petronas yang dibina oleh kerajaan kita dahulu
dijarah dan dihabiskan dengan banyaknya oleh kerajaan sekarang atas nama selamatkan Malaysia?

Kalau kita dikatakan merosakkan negara sudah tentu mereka tidak dapat berjoli menjual aset-aset negara yang
kita bina dahulu. Kalau kita dikatakan merosakkan negara, bagaimana Tabung Haji tatkala kita memerintah
boleh berikan dividen antara 6 hingga 9 peratus, tapi apabila mereka memerintah hanya dapat berikan
sebanyak 1.25 peratus sahaja.

Bagaimana di bawah mereka, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hanya mampu keluarkan dividen 2
peratus, berbanding lebih 12 peratus yang kita berikan dulu?

Saya ingin mengulangi apa yang ditegaskan oleh abang-abang dan kakak-kakak kita sebelum ini, sekiranya TH
dan LTAT ada penyelewangan, dakwalah mereka yang dikatakan menyeleweng. Kalau sangsi, tubuhlah
Suruhanjaya Siasatan Di Raja untuk menyiasat sekiranya ada salah laku. Kami mahu kebenaran bukan
propaganda murahan.

Cukuplah dengan sijil palsu Menteri-menteri mereka. Mereka seperti anak dungu yang tak tahu
mengembangkan kekayaan orang tuanya melainkan menjual setiap harta pusaka satu persatu. Apakah kita nak
tunggu semuanya tinggal sehelai sepinggang?

Sebab itu, kita semua perlu mengingatkan generasi muda tentang betapa getirnya keadaan yang berlaku dan
wajib kita tumbangkan kerajaan yang ada sekarang.

Saudari-Saudari,

Mencipta kemenangan untuk parti kita adalah melangkaui kepentingan mana-mana individu dalam parti kita.

Melangkaui tentang persoalan siapakah yang bakal mendapat kedudukan itu dan kedudukan ini. Melangkaui
persoalan siapakah yang akan menjadi Perdana Menteri, Menteri-menteri atau memberi ‘title’ ahli Yang
Berhormat kepada pemimpin-pemimpin kita.

Ia mengenai Negara. Ia mengenai Bangsa dan Agama kita. Ia mengenai masa depan anak-anak kita dan anak
kepada anak-anak kita juga.

Sebab itulah saya perlu mengingatkan diri saya dan rakan-rakan kita semua, hargailah perjuangan orang
terdahulu dan hargailah mereka yang bertungkus-lumus bekerja untuk kemenangan kita.

Kita perlu bersatu hati. Jangan tiru perpecahan yang berlaku di dalam parti mereka. Jangan benarkan sifat
cemburu mengatasi keinginan untuk bersatu. Jangan berbalah sesama kita. Jangan ada gerakan-gerakan yang
cuba mendahului Presiden kita. Jangan ada mana-mana pihak yang berkelompok dan berpuak-puak yang boleh
membawa ke arah perpecahan dan benci-membenci sesama kita. Rakyat sedang memandang kita dan menilai
tahap keikhlasan kita.

Bagi mereka yang bergelar Yang Berhormat, saya percaya anda ada keistimewaan tersendiri dan anda ada
kebolehan yang lebih dari yang lain. Sebab itu di saat ramai yang kalah, anda masih menang. Tahniah. Tahniah
kami ucapkan.

Namun saya ingatkan, jangan sama sekali bertindak, yang boleh menghilangkan rasa hormat rakyat terhadap
anda semua.

Di luar sana, banyak harimau dan banyak buaya yang menunggu masa untuk membaham anda. Ada yang
menghulur umpan dan ada yang memasang perangkap.

Mungkin umpan dalam bentuk habuan. Mungkin juga perangkap dalam bentuk janji dan kedudukan.

Tapi saya yakin anda lebih cerdik dari kebanyakan kami semua, yang tak sepatutnya terpedaya dan mudah
masuk dalam perangkap mereka.

Ingatlah, sudah berapa ramai Yang Berhormat dari kalangan kita dahulu, kini hilang kehormatannya?

Mereka itu tak dapat apa-apa pun…….di sebelah sana. Orang kat sana tak pandang mereka dan orang kat sini
pun tak hingin mereka lagi.

Mereka itu seperti melukut di tepi gantang. Ada tidak dirasai, hilang tidak hingin dirindui. Tiada siapa yang
pedulikan mereka. Sebab itu suara mereka langsung tak dihormati rakyat dalam setiap PRK yang lalu.

Ingatlah ‘title’ Yang Berhormat itu tak semestinya dihormati.

Cukup-cukuplah berunding di waktu malam!

Cukup-cukuplah membenarkan diri kita diusung ke sana sini tanpa pengetahuan parti!

Cukup-cukuplah bermain mata dengan orang yang cuba memusnahkan parti kita!

Cukup-cukuplah berpelukan dengan pihak yang rakyat pun sudah benci!

Semua tahu, DAP sedang menguasai pemerintahan negara ini melalui khadam-khadam politiknya.

Jangan pula anda menjadi khadam kepada khadam-khadam politik itu pula.

Tidak ada pintu belakang. Jangan, pilih pintu belakang untuk berkuasa. Kita tak mau pintu belakang.
Say No To Back Door!! Jalan kita ialah jalan ke depan. Kita hadap dan kita lawan mereka dalam
pilihanraya yang akan datang.

Biar pun kita Puteri, kita mesti dilihat lebih berani dari anak jantan. Tidak ada gunanya jadi jantan tetapi
lebih takut dari Puteri. Kita sudah menang banyak PRK, apa nak takut. Dan In sya Allah kita akan menang
Pilihanraya pula.

Kita semua ada maruah kerana kita dilahirkan dari parti yang bermaruah! (tone down).

Inilah parti kita, UMNO, yang bertungkus-lumus menentang penjajah dan membawa kemerdekaan kepada
negara ini dan paling banyak berjasa untuk negara tercinta. Siapalah kita tanpa UMNO. Maka jangan sama
sekali kita khianati perjuangan ini.

Kita diajar dan didoktrin untuk setia, untuk ikhlas dalam perjuangan. Tapi apabila kita kalah mengapa
begitu mudah berubah arah!

Ada yang lompat parti, ada yang menyokong musuh parti, jangan kelirukan kami tentang UMNO SEBUAH
PERJUANGAN!!

Kita harus setia kepada parti dan perjuangan parti.

Saya percaya persidangan kali ini lebih bermakna dari yang lalu. Dahulu kita bersidang dalam kegundahan.
Hari ni saya melihat sinar, ceria dan manis terpancar dari wajah saudari-saudari yang di sayangi.

Mood kemenangan menyegarkan kita. Udara Muafakat Nasional memberi nafas baru untuk kita melangkah
lebih cergas lagi selepas ini.

Semoga Allah memberi keberkatan kepada kita. Menyatukan hati-hati kita dan memberi ketabahan kepada kita
sekelian untuk meneruskan perjuangan ini.
Adik-adik Puteri,
Kadangkala dalam perjuangan ini
Kita lemas dilanda curiga
Antara setia dengan pembela
Antara khianat lidah bercabang
Menjadi gunting dalam lipatan
Kita Wirawati kental disulami maruah
Tetap dilapangan walau tidak dicanai kuasa
Tetap melangkah walau tidak dinobat harta
Jangan pernah mengalah kalau diajak bertelagah
Walau berubah musim beralih sikap
Walau bertukar pimpin bersalin harap
Kita Wirawati tidak pernah terpuja
Tiada rajuk dalam berjuang
Kerana kitalah pencorak masa hadapan
Jangan pernah
Jangan pernah sesekali
Khianati bahtera ini
Sesalnya nanti hanya datang sekali
Tapi seksanya sepanjang hayat
Lukanya berparut berabad-abad
Ayuh Wirawati ku
Ayuh Wirawati ku
Ayuh Wirawati Ku
Usah berduka gundah gulana
Kita akan terus berjuang
Walau mendapat luka
Walau terhalang dek durjana
Kita terus mara ke hadapan
Membawa aspirasi anak muda
Menzahirkan UMNO SEBUAH PERJUANGAN.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah.

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button