Nasionalpilihan

KPKM beri jaminan bekalan makanan asas mencukupi sepanjang Syawal

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberikan jaminan bahawa bekalan makanan asas adalah mencukupi sepanjang bulan Syawal ini.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu memberitahu, keyakinan tersebut selari dengan keupayaan pengeluaran
domestik komoditi makanan utama negara oleh para petani, pesawah, peladang, penternak dan nelayan sepanjang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Manakala, bekalan komoditi makanan yang terhad pengeluaran domestiknya pula ditampung melalui pengimportan bekalan makanan untuk keperluan pengguna di pasaran.

“Tradisi mengadakan rumah terbuka sepanjang bulan Syawal merupakan kelaziman bagi rakyat Malaysia. Tradisi rumah terbuka ini bukan sahaja dianjurkan oleh individu dan keluarga, malah turut dianjurkan oleh sektor awam, korporat, perniagaan, komuniti dan NGO.

“Oleh itu, jumlah penggunaan bekalan makanan asas dalam kuantiti yang besar diperlukan sepanjang tempoh tersebut.

“Maka, KPKM sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap keterjaminan bekalan makanan negara, akan terus memberikan perhatian sepanjang bulan Syawal ini terhadap lapan komoditi makanan utama yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) iaitu beras, ayam, telur, daging, sayur-sayuran, buah-buahan, makanan laut dan susu segar bagi memastikan ianya mencukupi untuk keperluan pengguna.

“Kebolehcapaian komoditi makanan utama ini juga akan disokong oleh outlet pemasaran di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), selain pasar raya dan kedai runcit di seluruh negara,” demikian menurut kenyataan itu.

Dalam masa yang sama, KPKM menggalakkan amalan penggunaan bekalan makanan mengikut keperluan bagi mengelakkan sebarang bentuk pembaziran makanan, khususnya dalam tempoh penganjuran rumah terbuka di bulan Syawal ini.

KPKM mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakyat Malaysia dan berharap agar tradisi rumah terbuka ini diteruskan sebagai wadah perpaduan dan penyatuan rakyat Malaysia. – SM

(Visited 32 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button