NasionalNegeri

Konvensyen Masjid-Masjid Perlis beri anugerah pengerusi, masjid lestari

PENGERUSI Masjid As-Syakirin, Oran, Ya Ali Dahaman diisytiharkan sebagai Pengerusi Masjid Terbaik manakala Masjid Al-Arifin, Padang Katong pula diumumkan sebagai pemenang Anugerah Masjid Lestari Terbaik Negeri Perlis tahun 2023 pada Konvensyen Masjid-Masjid Negeri Perlis Tahun 2023 di Dewan Warisan, Kangar.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan majlis tersebut dan seterusnya menyampaikan anugerah berkenaan kepada pemenang.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan anugerah Pengerusi Masjid Terbaik kepada Ya Ali Dahaman pada Konvensyen Masjid-Masjid Negeri Perlis Tahun 2023 di Dewan Warisan, Kangar.

Turut hadir Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan Mufti Prof Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Konvensyen ini anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jam’iyah Pegawai-Pegawai Masjid Negeri Perlis.

Raja Muda bertitah, masjid-masjid di Perlis hendaklah diperkasakan agar dapat mensyiarkan kualiti pentadbiran yang profesional dan efisien.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan melancarkan buku SPMM Peringkat Negeri Perlis pada Konvensyen Masjid-Masjid Negeri Perlis Tahun 2023 di Dewan Warisan, Kangar.

Baginda menasihatkan supaya pelantikan Ahli Jawatan Kuasa Masjid mestilah berasaskan kelayakan al-Qawiy dan al-Amin yang kompeten serta komited dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

“Sebarang aktiviti komuniti setempat, Jawatankuasa Kariah dan Pegawai-Pegawai Masjid hendaklah selalu turun padang melihat keperluan-keperluan masyarakat dan menyelesaikan apa-apa masalah yang berkaitan dan perlu diwujudkan jaringan strategik antara Jawatankuasa dengan pihak-pihak berkuasa, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Rukun Tetangga, dan seumpamanya,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah, Jawatankuasa Masjid hendaklah sentiasa memastikan setiap penceramah, pengkuliah dan tenaga-tenaga pengajar tersebut adalah pemegang tauliah Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah pada perasmian Konvensyen Masjid-Masjid Negeri Perlis Tahun 2023 di Dewan Warisan, Kangar.

Hal ini bagi memastikan kualiti dan mutu pengisian di masjid dan surau di negeri ini kekal berada pada standardnya yang tersendiri serta jauh daripada anasir-anasir luar yang meragukan dan cuba untuk menyemai bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

“Mematuhi ulil amri adalah suatu tuntutan dalam agama Islam, apatah lagi ia selari dengan suruhan agama dan kemaslahatan ummah dan perkara ini adalah demi kebaikan bersama, demi melestarikan keharmonian dalam kalangan komuniti dan anak kariah”, titah Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Di majlis yang sama Raja Muda berkenan melancarkan buku Standard Penarafan Masjid Malaysia Peringkat (SPMM) Negeri Perlis diiringi Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah JAKIM, Kamaldin Mohd Damin. – SM

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button