Nasional

Rakyat perlu jayakan Banci 2020 demi masa depan – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima sembah mengadap hormat oleh Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di Galeri DiRaja Arau.

Mohd Uzir turut diiringi Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Perlis Pathmavathi a/p Appulanaidu dan Perangkawan Wan Mohamad Hanif Wan Adnan.

Sembah mengadap tersebut bertujuan mempersembahkan penerangan lebih jelas kepada baginda berkaitan ‘Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020’ atau ‘Banci 2020’ yang telah pun dilaksanakan iaitu fasa pertama bermula pada 7 Julai lalu hingga 30 September 2020 ini dan fasa keduanya yang akan berlangsung dari 7 hingga 24 Oktober 2020 yang membawa tema ”Data Anda Masa Depan Kita”.

Menurut Mohd Uzir, ‘Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia’ merupakan aktiviti setiap dekad di mana ia telah dilaksanakan sebanyak lima kali semenjak tahun 1970. Banci ke-6 telahpun bermula 7 Julai 2020 lalu dengan memperkenalkan ‘Malaysia Integrated Population Census System’ (MyIPCS) iaitu ke arah memodenkan MyCensus 2020.

Tambah beliau lagi, sistem banci berpusat dan komprehensif dengan peningkatan dan penambahbaikan ciri-ciri pembancian secara elektronik (e-Census) ini, menyediakan satu rangka kerja bersepadu meliputi pengumpulan, analisa dan penyebaran data yang kompleks. Oleh itu, pelaksanaan MyIPCS dalam Banci 2020 akan memberi manfaat kepada kedua-dua pengumpul data dan responden bagi memastikan semua penduduk diliputi.

Menurut beliau, soalan tambahan mengenai butiran perumahan, kesihatan, gaya hidup dan hubungan sosial juga dimasukkan di dalam ‘Banci 2020’ bagi memenuhi perubahan corak gaya hidup dalam kalangan masyarakat.

Tuanku Raja Muda Perlis bertitah, dapatan banci yang komprehensif merangkumi keperluan input pemantauan ‘Agenda Pembangunan Mampan 2030’ ini iaitu pembasmian kemiskinan, keselamatan dan keselestarian alam sekitar akan menjadi rujukan utama bagi penyediaan rancangan pembangunan negeri dan negara.

Tambah baginda, dapatan juga akan membantu pelaksanaan agenda ‘Perlis Go Digital’ bagi merancakkan lagi perancangan pembangunan negeri Perlis.

“Adalah diharapkan agar semua jentera Kerajaan Persekutuan, Negeri dan komuniti memberikan sokongan dan kerjasama kolektif dalam Banci 2020 ini serta memastikan segala maklumat yang diberi berintegriti, berkualiti dan dipercayai”.

“Beta berharap banci yang memasuki fasa kedua iaitu sehingga 30 Oktober ini, setiap daripada rakyat Perlis berjaya dibanci demi mencorakkan sebuah pembangunan dan kehidupan yang lebih lestari dan sejahtera di masa akan datang”.

“Saya menyeru semua rakyat menjayakan ‘Banci 2020’ ini dengan sebaiknya”, titah baginda.

Sesi pembentangan ini turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Hj Mohd Nazim Mohd Noor, Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak serta Ketua Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

(Visited 349 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button