KesihatanRencah Hidup

Kombinasi vaksin 3-dalam-1 Tdap bagi melindungi bayi baru lahir

OLEH Prof Dr Jamiyah Hassan

PAKAR Perunding Perubatan Feto-Maternal, Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam, Prof Dr Jamiyah Hassan berkongsi maklumat sebagai tanda sokongan terhadap berita yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Kementerian Kesihatan yang akan mempertimbangkan untuk menyenaraikan kombinasi vaksin 3-dalam-1 Tetanus-difteria-pertusis (Tdap) ke dalam penjagaan pranatal ibu hamil di Malaysia terutamanya dengan peningkatan kes batuk kokol di Malaysia seperti di Rompin dan Alor Gajah, Melaka.

Disiarkan pandangan penuh Jamiyah untuk manfaat para pelayar SUARA MERDEKA:

Imunisasi Ibu Hamil & Vaksinasi Tdap Tingkatkan Kelangsungan Hidup Bayi Baru Lahir di Malaysia

Kenyataan Kementerian Kesihatan untuk mengkaji pemberian kombinasi vaksin 3-dalam-1 Tdap bagi melindungi bayi baru lahir daripada penyakit batuk kokol adalah satu langkah proaktif untuk memastikan ibu hamil boleh mendapat akses kepada vaksin bagi perlindungan penyakit berjangkit.

Ini menunjukkan pihak Kementerian Kesihatan sangat prihatin kepada usaha-usaha pencegahan yang relevan dan harus dipuji. Ini merupakan langkah yang sangat penting bagi mengurangkan risiko penyakit cegahan vaksin di kalangan bayi baru lahir dan akan meningkatkan kesihatan kanak-kanak di Malaysia secara menyeluruh.

Usaha-usaha untuk mengurangkan kadar mortaliti neonatal (kadar kematian bayi baru lahir ke 28 hari pertama kehidupan). di peringkat global sejak 1990 telah menunjukkan kemajuan yang ketara, namun sejak 2010, peningkatan kelangsungan hidup berlaku pada kadar yang perlahan.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu akan meneruskan usaha-usaha untuk mengurangkan kematian yang boleh dicegah di kalangan bayi baru lahir dan kanak kanak di bawah umur lima tahun menjelang 2030 dengan didorong oleh Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Di peringkat global, kira-kira 6,400 bayi baru lahir meninggal dunia setiap hari, iaitu hampir 47% daripada kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun.

Di Malaysia, kadar mortaliti neonatal pada 2021 adalah 4.1 bagi setiap 1000 kelahiran hidup, meningkat sedikit berbanding kadar pada 2020 iaitu 3.9.

Meningkatkan kelangsungan hidup bayi baru lahir adalah satu perkara penting, bahkan mengutamakan pencegahan penyakit menjadi langkah yang sangat penting apabila jangkitan yang boleh dicegah dengan vaksin itu dikenalpasti sebagai penyumbang utama kepada mortaliti neonatal.

Bagaimanapun, timbul cabaran besar dalam usaha melindungi bayi berumur di bawah 3 bulan yang terlalu muda untuk divaksin daripada penyakit berjangkit seperti pertussis atau batuk kokol tanpa vaksinasi aktif.

Mengapa imunisasi ibu hamil – atau vaksinasi ketika hamil – menjadi keutamaan dalam kesihatan awam?

Untuk merapatkan jurang ini, imunisasi ibu hamil muncul sebagai salah satu jalan penyelesaian yang paling berkesan kerana pendekatan ini telah diamalkan secara meluas di negara-negara maju dan ia terbukti dapat mencegah penyakit dan menyelamatkan nyawa.

Apabila menerima vaksinasi semasa hamil, seseorang ibu itu akan mempunyai dua kelebihan: merangsang imuniti dirinya sendiri dan antibodi yang dijana akan memberi perlindungan penting kepada bayi di dalam kandungan dan sewaktu kelahiran.

Antibodi yang terbentuk dalam diri ibu akan dipindahkan kepada bayi melalui plasenta (uri), memberi perlindungan penting kepada bayi yang baru lahir daripada jangkitan penyakit berjangkit seperti batuk kokol.

Antibodi ini akan terus menjadi perisai kepada bayi berkenaan selama beberapa bulan, sehinggalah si kecil itu boleh menerima vaksinasi mereka sendiri.

Fenomena unik dan mendatangkan perlindungan yang berkesan dari satu intervensi yang memberi manfaat kepada ibu dan bayi ini adalah satu pencapaian dalam kesihatan awam yang perlu diberi perhatian selain memperkasakan para ibu dengan perlindungan yang berharga ketika mereka sangat memerlukannya.

Di Malaysia, vaksinasi Tetanus Toxoid (TT) dimasukkan ke dalam program vaksinasi kebangsaan untuk wanita mengandung.

Bagaimanapun, kita mesti sentiasa mencari peluang untuk penambahbaikan dalam meningkatkan tahap kesihatan ibu hamil dan melakukan penyesuaian strategi untuk menangani sebarang kes penyakit cegahan vaksin secara berkesan.

 Pertussis (Batuk Kokol) – masalah yang memberi kesan kepada bayi dan bayi baru lahir

Program Perluasan Imunisasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada mulanya berjaya mengurangkan kes batuk kokol di seluruh dunia, tetapi kini penyakit ini muncul semula kerana penurunan imuniti dan penolakan atau kelewatan untuk mendapatkan vaksin.

Asia Selatan dan Asia Tenggara menanggung beban batuk kokol neonatal yang berat, dengan peningkatan kes dalam kalangan bayi di bawah umur tiga bulan, menyebabkan kadar mortaliti di rantau ini mencecah 5.6% hingga 14.7%, malah kebarangkalian untuk kelompok umur yang lemah ini menghidap penyakit yang teruk dan dimasukkan ke hospital adalah lebih tinggi.

Di negara kita, kes batuk kokol telah meningkat sejak 20 tahun lalu, dengan kadar penolakan vaksin melonjak daripada 600 pada 2013 kepada 1,600 pada 2016.

Pihak berkuasa mengesyaki insiden sebenar jauh lebih tinggi disebabkan kes-kes yang tidak dikesan atau tidak dilaporkan. Penampilan batuk kokol pada remaja dan orang dewasa berbeza daripada bayi, dan diagnosisnya pula jarang dilakukan.

Namun penyakit ini sangat mudah berjangkit, dan boleh memberi kesan yang teruk pada bayi, khususnya bayi yang terlalu muda untuk divaksin.

Sehingga 19 Ogos 2023, terdapat 329 kes pertusis dengan 23 kematian dilaporkan tahun ini di seluruh negara, dengan 189 (57.4%) daripada kes yang dilaporkan melibatkan bayi di bawah 12 bulan.

Tambahan pula, pmerhatian ke atas beberapa hospital selama 12 bulan baru-baru ini mendapati 89.3% kes batuk kokol yang disahkan berlaku pada bayi yang terlalu muda untuk divaksinasi sepenuhnya atau tidak mendapat vaksinasi secukupnya mengikut umur mereka.

Statistik berkenaan menunjukkan bahawa penyakit kanak-kanak seperti batuk kokol masih belum dapat dihapuskan. Jangan kita lupa pada beban emosi dan kewangan yang perlu ditanggung oleh ibu bapa dan keluarga apabila cahaya mata yang paling kecil ini sakit teruk.

Kita mesti menitikberatkan vaksinasi bayi yang tepat pada waktunya untuk menghalang penyakit cegahan vaksin yang berjangkit, dan imunisasi ibu hamil merupakan strategi penting bagi mengurangkan beban jangkitan penyakit seperti batuk kokol.

 Melindungi anak-anak kecil kita daripada batuk kokol

Pelbagai kajian menunjukkan imuniti pasif daripada imunisasi ibu hamil mempunyai kesan yang paling tinggi dalam mencegah batuk kokol pada bayi baru lahir.

Walaupun ada manfaatnya di samping saranan WHO supaya mempertimbangkan vaksinasi Tdap untuk wanita hamil, namun banyak negara di rantau ini terus menyarankan vaksin TT untuk wanita hamil atau wanita dalam usia subur.

Negara jiran kita, Singapura telah memperkenalkan vaksinasi Tdap untuk ibu hamil dalam program kesihatan mereka, dan kita juga seharusnya mengambil langkah yang sama.

Di Malaysia, ramai wanita tidak mendapat vaksinasi ibu hamil atas pelbagai faktor seperti kurangnya kesedaran, keraguan terhadap vaksin, bimbangkan isu keselamatan, dan kekangan kewangan.
Pengambilan vaksin Tdap di Malaysia kebanyakannya adalah di pusat penjagaan kesihatan swasta dan ia bergantung kepada saranan doktor individu.

Saya adalah penyokong kuat vaksin dan telah memasukkan vaksin Tdap untuk ibu hamil bagi menggantikan vaksin TT di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) UiTM Puncak Alam sejak 2021.

Kami adalah hospital awam pertama yang menyediakan vaksin Tdap dalaman, dan telah mendapat sokongan dalam kalangan ibu hamil dan mereka sanggup menanggung kos vaksin dan percaya akan kebaikan vaksin untuk mereka dan bayi di dalam kandungan setelah mendapat kaunseling yang sewajarnya.

Keyakinan terhadap vaksin di kalangan penyedia penjagaan kesihatan dan kemampuan untuk menangani isu maklumat yang salah serta ketersediaan vaksin di premis masing-masing mempunyai kesan yang besar dalam meningkatkan kadar vaksinasi pada wanita hamil di Malaysia.

Justeru saya menggesa rakan-rakan seperjuangan saya supaya terlibat secara aktif dalam perbincangan bersama pesakit mereka dan menyarankan imuninasi ibu hamil dan dengan itu akan meningkatkan kesedaran serta memupuk pemikiran yang terbuka untuk menerima amalan yang menyelamatkan nyawa ini.

Saya juga merayu kepada Kementerian Kesihatan supaya mengekalkan momentum dalam mengukuhkan strategi imunisasi ibu hamil kita.

Apabila kita sama-sama berusaha untuk mengutamakan kesihatan bayi baru lahir, kita boleh menangani jurang perlindungan semasa bulan-bulan awal kehidupan bayi, yang akhirnya membawa Malaysia lebih dekat dalam mencapai sasaran SDG pada 2030.

Besar harapan saya agar kita boleh berganding bahu bersatu tenaga untuk mewujudkan masa hadapan yang lebih sihat buat kanak-kanak di negara kita. – SM

BACA Wanita hamil, susukan anak disaran tangguh ambil vaksin Covid-19

BACA Hampir 110,000 ibu mengandung daftar untuk vaksin

(Visited 94 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button