Nasional

Simpan alat pemadam kebakaran untuk siap siaga – Raja Muda Perlis

SEMUA anggota masyarakat mestilah mengubah mentaliti supaya prihatin serta sentiasa bersiapsiaga dengan segala tips pra kebakaran seperti menyediakan alat pemadam api, ‘Fire Blanket’, alat pengesan asap dengan mengutamakan pemasangannya di bahagian dapur, menyimpan nombor telefon balai bomba terdekat, memastikan
dapur sentiasa bersih dan tidak berminyak, mengelakkan memasak ketika penat atau mengantuk serta menjauhkan alat pemanas api atau lilin daripada sebarang objek yang mudah terbakar.

Pada masa yang sama, simpanlah bahan yang mudah terbakar di tempat yang selamat, melakukan pemeriksaan berkala ke atas wayar elektrik, memeriksa peralatan elektrik yang digunakan, memberi perhatian kepada peralatan yang berbau, berasap dan terlampau panas dan memastikan rumah mempunyai laluan kecemasan dan setiap penghuni mengetahui laluan tersebut.

Bagi para perokok pula, gunakan bekas abu rokok yang besar dan lebar serta basahkan bekas sebelum digunakan, pastikan jeriji boleh dibuka (openable grill) ketika kecemasan dan kunci diletak di tempat yang senang dilihat jika berlaku kecemasan serta elakkan pembakaran terbuka terutama pada musim panas.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan ‘Kursus Pencegahan Kebakaran dan Cara-cara Menggunakan Alat Pemadam Api Kepada Warga Kerja Baru Istana Arau (Sesi Pertama bagi tahun 2020) yang diadakan di padang belakang Galeri DiRaja Arau pada tengahari semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis, Ruhisha Haris serta kakitangan beliau dari Balai Bomba Arau yang mengendalikan kursus berkenaan dan Setiausaha Sulit baginda, Zaharin Haris.

Berangkat sama ialah anakanda-anakanda, Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Sementara itu, Ruhisha pula menasihatkan agar sekiranya berlaku kebakaran, seseorang itu hendaklah terlebih dahulu mengetahui stigma api dan air, berusaha untuk mengawal kebakaran kecil atau bertindak sebagai ‘First Responder’ sementara menunggu ketibaan pihak berkuasa, merangkak dengan menggunakan kedua-dua belah tangan dan lutut, menggunakan selimut atau kain basah bagi mengurangkan risiko kecederaan serta memeriksa suhu bilik tertutup ketika ingin memasuki ruang yang tidak boleh dilihat dan juga bau gas sebelum memasuki rumah serta jangan sekali-kali menggunakan lif semasa situasi kecemasan. – SM

(Visited 888 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button