Nasional

Klebang sesak teruk, 70,000 pengunjung serbu Bazar Aidilfitri

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 24 April – Lalu lintas sesak teruk, kenderaan pula beratur panjang sejauh lima kilometer (km) dan orang ramai pula berpusu-pusu.

Itulah gambaran awal kesesakan luar biasa ketika hampir 70,000 orang ramai memasuki Bazar Aidilfitri Mega Klebang, malam tadi.

Tiga laluan utama iaitu jalan pantai dan jalan lama Klebang sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu dari Limbongan serta laluan dari Pulau Gadong.

Kesesakan itu berpunca daripada kunjungan orang ramai membeli-belah sebagai persiapan Aidilfitri tidak lama lagi,

Lebih daripada 70,000 orang ramai menyerbu Bazar Aidilfitri Mega Klebang dekat sini malam tadi sekali gus mencatat jumlah tertinggi pengunjung sejak dibuka pada 1 Ramadan lalu.

Orang ramai berpusu-pusu membeli- belah di Bazar Aidilfitri Mega Klebang, Melaka, malam tadi.

Tinjauan mendapati bukan setakat kunjungan ramai pengunjung malah lalu lintas sesak teruk dan hampir lumpuh di semua laluan masuk ke Klebang sejak pukul 8.00 malam.

Kemeriahan bazar tersebut jauh berbeza jika dibandingkan dua tahun lalu apabila kawasan ini hampir lumpuh sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Walaupun umat Islam masih berada dalam bulan Ramadan namun ia tidak menghalang mereka untuk keluar malam mendapatkan barang keperluan khususnya pakaian bagi persediaan di bazar Aidilfitri larut malam di sini.

Penganjurnya, Rasydan Zahier berkata, kehadiran pengunjung luar biasa itu sangat mengejutkan dan kali pertama berlaku sejak beroperasi pada 1 Ramadan lalu.

Bazar Aidilfitri Mega Klebang meriah menerima kunjungan ribuang pengunjung.

Menurutnya, antara sebab utama bazar itu dipenuhi orang ramai selepas kerajaan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) menjelang sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata, selain penduduk tempatan, bazar itu turut dikunjungi mereka yang datang dari Singapura, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

“Kunjungan orang ramai sangat luar biasa tidak seperti cuti hujung minggu sebelum ini. Dianggarkan lebih 70,000 pengunjung menyerbu bazar ini selepas berbuka puasa sehingga pukul 2.00 pagi.

“Kesesakan dengan orang ramai berhimpit-himpit tanpa mempedulikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sehingga kami tidak dapat mengawal limpahan pengunjung di luar jangkaan.

“Mungkin kehadiran ramai pengunjung mungkin ada yang sudah dapat gaji selain mereka yang telah diluluskan pengeluaran khas RM10,000 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP),” ujarnya.

Menurutnya, hampir seluruh kawasan lapang di Dataran 1Malaysia Klebang dipenuhi kenderaan malah ada juga pengunjung terpaksa meletakkan kereta mereka sejauh 1km.

(Visited 796 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button