Nasional

UPSI, AERODYNE bina kerjasama teroka potensi teknologi dron dalam inovasi pendidikan

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman dengan syarikat Kumpulan Aerodyne, sebuah syarikat tempatan yang menawarkan perkhidmatan dron di peringkat antarabangsa.

Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, sebagai institusi pengajian pendidikan terulung tanahair, UPSI sentiasa mencari ruang untuk mengukuhkan jalinan kerjasama erat antara akademia dan industri melibatkan kementerian, universiti, industri, dan komuniti.

Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff (tiga dari kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne, Kamarul A Muhamed (tiga dari kanan) di Cyberjaya, Selangor hari ini.

“Selaras dengan sasaran kerajaan bagi mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan melalui industri dron di Malaysia dengan anggaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bernilai RM50 billion pada tahun 2030.

“Kerjasama ini dilihat dapat merealisasikan matlamat dengan menyediakan latihan yang berstruktur serta komprehensif dengan memperkenal pendekatan yang lebih berkesan dan terkini (Dronegogy) agar lebih ramai berpeluang untuk terlibat sama dalam industri ini,” jelasnya ketika berucap pada majlis perjanjian persefahaman di pejabat urusan Kumpulan Aerodyne, di sini hari ini.

Menurut Md Amin lagi, UPSI dan Aerodyne senada dalam usaha untuk meningkatkan nilai modal insan dan kepakaran tempatan, dalam bidang-bidang teknologi data analitik dan transformasi digital yang lebih menyeluruh.


“UPSI sebagai universiti nombor satu pendidikan menekankan peri pentingnya menaikkan kesedaran masyarakat berkenaan situasi ini agar Malaysia sentiasa bersaing dengan negara luar,” katanya.
Turut hadir dalam majlis perjanjian persefahaman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Marzita Puteh; Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman serta Ketua Pegawai Governan Kumpulan Aerodyne, Azita Azizan.

Sementara itu, Pengasas, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne, Kamarul A Muhamed berkata teknologi seperti Quantum komputer dan kecerdasan buatan kini membangun pesat, menuju ke arah kecerdasan buatan general (Artificial General Intelligence) yang akan merubah pelbagai lanskap ilmu dan kemahiran.

Aerodyne terkenal sebagai penyedia perkhidmatan dron nombor satu di peringkat antarabangsa, dan diharapkan kerjasama erat dengan Aerodyne ini juga akan dapat menjadi katalis kepada pelbagai inovasi dalam pendidikan dan teknologi.

(Visited 49 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button