Jenayah

Kes bakar kereta wanita disangka mabuk: 3 ditahan

Polis menahan 3 lelaki bagi membantu siasatan kemalangan yang turut menyaksikan sebuah kereta dibakar selepas pemandunya didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian di Jalan Ara Kuda, di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki pertama berusia 33 tahun ditahan di Padang Menora di sini pada 12 tengah hari semalam, selepas dipercayai memuat naik maklumat tidak benar mengenai insiden itu.

Dua lagi lelaki berusia 19 dan 29 tahun, yang merupakan abang kepada pasangan kembar terlibat dalam kemalangan itu, ditahan di 2 lokasi berbeza di Tasek Gelugor kira-kira 5 petang semalam.

Beliau berkata, kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan bertindak agresif terhadap pemandu wanita yang melanggar adik mereka, selain membuat komen negatif berhubung kejadian itu di Facebook.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis sedang mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian bakar kereta wanita itu,” katanya hari ini.

Beliau berkata, lelaki pertama disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan berita palsu sehingga boleh menimbulkan suasana tegang serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, manakala 2 lagi disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan khianat dengan api.

Sabtu lalu, polis menafikan kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan 2 motosikal yang masing-masing ditunggang pasangan kembar berusia 14 tahun, disebabkan pemandu kereta itu mabuk.

Polis berkata, siasatan mendapati pelanggaran pada 9.50 malam itu berlaku disebabkan pemandu wanita berusia 56 tahun itu mengelak seekor haiwan yang melintas jalan secara tiba-tiba, menyebabkan keretanya terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar 2 motosikal itu.

Orang awam yang berada di tempat kejadian bertindak membawa wanita itu ke balai polis berdekatan, sementara pasangan kembar yang patah kaki kanan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dirawat.

Kemalangan itu turut mengundang kemarahan beberapa individu yang bertindak membakar kereta penjual sayur itu kerana menyangka wanita terbabit memandu dalam keadaan mabuk.

Klip video kejadian itu kemudian ditularkan.-BERNAMA

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button