Nasionalpilihan

Kerajaan tidak teruskan pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman

Demi pemeliharaan alam sekitar kerajaan memutuskan tidak akan meneruskan pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman, Pahang yang melibatkan 76 peratus penambakan laut.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mesyuarat jemaah menteri bersetuju dengan hasrat kementerian yang mengutamakan selain pemeliharaan alam sekitar, konservasi dan penggunaan sumber asli dengan cara yang bertanggungjawab.

Menurutnya, keputusan tersebut juga mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar demi mencapai kemapanan dan menjamin kesejahteraan negara.

“Kementerian telah mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan kerana penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan kemusnahan terumbu karang yang merupakan habitat penting pelbagai spesies hidupan laut dan juga merupakan tarikan utama ke Pulau Tioman.

“Pulau Tioman yang diwartakan sebagai Taman Laut turut mempunyai hutan hujan masih asli, sekali gus mempunyai habitat pelbagai spesies hidupan liar dengan sebahagian daripada pulau itu ditetapkan sebagai rizab hidupan liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, pembangunan lapangan terbang itu di Pulau Tioman berisiko menyebabkan kerosakan fizikal dan kehilangan habitat kepada ratusan hidupan marin di kawasan itu.

Laporan EIA mengenal pasti 120 spesies batu karang keras dan 12 spesies batu karang lembut di kawasan itu akan terancam.

Ini akan mengakibatkan kemusnahan kebanyakan terumbu karang sangat berharga sedangkan ia habitat penting bagi banyak spesies laut dan menyumbang secara signifikan kepada biodiversiti.

Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata, walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu itu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, namun pembinaan itu akan merosakkan tarikan semula jadi ke Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan tidak mampan.

Jelasnya, NRECC melalui Jabatan Alam Sekitar juga telah selesai melaksanakan proses pameran awal bagi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Environmental Impact Assessment, EIA) bagi “Cadangan Pembangunan Sebuah Lapangan Terbang Baharu di Pulau Tioman untuk Operasi Penerbangan Kod 4C Yang Berkeluasan 460.50 Ekar, Tioman, Daerah Rompin, Pahang Darul Makmur”.

Katanya, laporan EIA tersebut telah dipamerkan selama 30 hari bermula daripada 21 Jun 2023 hingga 20 Julai 2023. Orang awam telah mengemukakan ulasan awam daripada 21 Jun 2023 sehingga 4 Ogos 2023 (45 hari).

Beliau menambah sehingga 4 Ogos 2023, sejumlah 1,412 ulasan awam telah diterima.

“Susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA (EIATRC) yang telah diadakan pada 9 Ogos 2023, kementerian mendapati bahawa cadangan Lapangan Terbang Baharu berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitif (sensitive receptor) di sekitar Pulau Tioman termasuklah ekologi marin sekiranya diteruskan,”
katanya. – SM

BACA Rakyat beri isyarat di Padang Serai dan Tioman

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button