NasionalNegeriPendidikan

Pelajar perlu teroka pelbagai kaedah belajar – Raja Muda Perlis

KONSEP ABC iaitu ‘Anak Baik lagi Cerdik’ yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bertujuan untuk memperkasakan lagi konsep kemenjadian murid di sekolah yang meliputi semua aspek.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelajar perlu meneroka pelbagai kaedah belajar bagi menarik minat belajar antaranya menyediakan jadual waktu belajar kerana langkah ini dapat mengimbangkan pembahagian masa terhadap pelbagai jenis aktiviti yang akan dilakukan, sekiranya dipatuhi secara berkesan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan merasmikan bilik muzik SMK Putra sempena Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat SMK Putra di Kangar.

Titah baginda, motivasi diri penting untuk berjaya terutama ketika belajar.

Pelbagai ayat motivasi boleh ditulis dan dipahat dalam diri pelajar serta motivasi ini harus sentiasa segar dalam ingatan pelajar sepanjang masa.

Kaedah ‘Peta Minda’ didapati lebih efektif berbanding kaedah biasa kerana teknik ini dapat menyeimbangkan penggunaan otak kiri dan otak kanan.

Malah titah Baginda, ‘Peta Minda’ sesuai digabungjalinkan bersama alunan muzik.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra dihadiri 500 orang pelajar anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di Kangar.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan terima mengadap para pelajar sempena Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat SMK Putra di Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Pengetua SMK Putra, Azzuadi Jusoh.

Menurut Azzuadi, sekolah ini sangat cemerlang dalam bidang kokurikulum di mana Unit beruniform Pandu Puteri telah berjaya merangkul tempat ke–2 dalam Kawad Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis.

Terdapat seorang pelajar Tingkatan Tiga telah mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan dalam Kejohanan Bakat Kebangsaan Sukan Menembak Remaja dan melakar kejutan apabila membawa pulang pingat emas bagi kategori 10 Meter Air Rifle.

Sukan Bola Baling sekolah turut menempa kejayaan apabila berjaya memperoleh tempat kedua dalam Kejohanan Bola Baling MSSPs Peringkat Negeri Perlis dan 5 orang pemain SMK Putra berjaya terpilih untuk mewakili Perlis ke Kejohanan Bola Baling Peringkat Kebangsaan.

Seorang pelajar yang mewakili kelab Malaysiaku, terlibat dalam Pertandingan Sketsa Rukun Negara Peringkat Negeri Perlis telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

SMK Putra turut melahirkan beberapa orang anak seni tempatan antaranya ialah Khai Bahar dan Aweera.

Hal ini kerana, kelas aliran muzik sekolah sangat aktif dan kerap menempa pelbagai kejayaan.

Antaranya Johan Puisi dan Lagu Peringkat Kebangsaan 2018, Johan Gamelan Fiesta Angin Timur Peringkat Negeri Perlis, Johan Pertandingan Band Sekolah-Sekolah Negeri Perlis 2018, Johan Puisi Lagu Negeri Perlis 2019 dan Naib Johan Orkestra Kebangsaan 2017 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berinteraksi dengan para pelajar sempena Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 Bagi Peringkat SMK Putra di Kangar.

Pencapaian dari segi sahsiah (SUMUR) pula cemerlang dalam kategori hafazan peringkat negeri selaku naib johan pertandingan Hafazan Mahrajan Program Pembangunan Adab dan Nilai sekolah-sekolah menengah peringkat Negeri Perlis tahun 2023.

Majlis pada tengahari itu turut dimeriahkan dengan majlis perasmian bilik muzik SMK Putra yang telah dirasmikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Bilik muzik ini telah ditubuhkan pada tahun 2022 bagi memenuhi aspirasi pembangunan murid yang berliterasi muzik sesuai dengan kerangka pendidikan muzik sebagai mata pelajaran elektif pelajar di sekolah ini.

Raja Muda bertitah supaya warga SMK Putra akan berusaha bersungguh-sungguh dan bekerja keras bagi mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang pada masa akan datang. – SM

BACA Bagi manfaatkan kanabis untuk perubatan, Malaysia sedia belajar dengan Thailand

BACA UPSI bangunkan modul AR-CSI bantu Kolej Matrikulasi dalam pembelajaran geometri molekul

(Visited 90 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button