Nasional

UPSI bangunkan modul AR-CSI bantu Kolej Matrikulasi dalam pembelajaran geometri molekul

Sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai Dr Lee Tien Tien membangunkan modul yang dapat membantu dalam pembelajaran kimia di kolej matrikulasi.
Modul yang berbantukan aplikasi telefon dan mengintegrasikan Augmented Reality (AR) dalam kursus kimia fizikal itu berupaya membantu pelajar dalam pembelajaran konsep geometri molekul dan kekutuban dalam tajuk ikatan kimia.

Dr Lee berkata modul yang dinamakan sebagai Augmented Reality-Chemistry Student Investigation (AR-CSI) mengaplikasikan kaedah pembelajaran berasaskan inkuiri berintegrasikan AR melalui Model Pembelajaran 5E, iaitu pendekatan pembelajaran mengikut teori konstruktivisme.

Dr Lee Tien Tien

Terdapat empat unit dalam Modul AR-CSI dan setiap unit dipersembahkan mengikut Model Pembelajaran 5E, iaitu Engage, Explore, Explain, Elaborate dan Evaluate.

“Pelajar boleh berkolaborasi dengan rakan sekumpulan untuk membina pengetahuan berkaitan konsep geometri molekul dan kekutuban melalui penyelesaian masalah dalam lima fasa aktiviti yang disediakan dalam modul, “ katanya.

Beliau berkata , Modul AR-CSI berbantukan aplikasi telefon AR-CSI ini boleh digunakan sebagai bahan bantu mengajar, modul pembelajaran kendiri dan modul penilaian kendiri yang boleh membantu Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM) dan KPM mempelbagaikan penggunaan AR dalam alat pendidikan interaktif.

“Ia akan mengubah pelajar daripada pembelajaran berasaskan buku teks secara konvensional kepada pembelajaran mudah alih (Mobile Learning) yang berpusatkan pelajar, “ katanya.

Katanya, pelajar perlu memasang aplikasi telefon AR-CSI ke dalam telefon atau tablet yang menggunakan sistem pengoperasian Android, seterusnya membuka kamera AR untuk mengimbas 14 marker dalam Modul AR-CSI yang akan memaparkan 63 molekul dalam bentuk tiga dimensi secara AR.

“Ia menarik kerana pelajar boleh melihat molekul-molekul ini di skrin telefon atau tablet dan seterusnya boleh memutarkan molekul dengan menyentuh atom pusat molekul menggunakan jari tangan untuk melihat bentuk molekul dari pelbagai sudut sekali gus dapat meneroka aktiviti interaktif dalam Modul AR-CSI.
Modul AR-CSI perlu digunakan bersama aplikasi telefon AR-CSI yang merupakan platform untuk membolehkan ciri Augmented Reality (AR) dalam modul berfungsi. Ia adalah aplikasi pemodelan 3D yang menggunakan teknologi AR untuk pelajar mempelajari ikatan kimia dengan Modul AR-CSI.
Ia bukan sahaja boleh membantu pelajar dalam pembelajaran konsep geometri molekul dan kekutuban, malah berupaya memupuk kemahiran 4C (Collaboration, Communication, Critical and creative thinking) dalam kalangan pelajar, malah berkolaborasi dan berkomunikasi sesama ahli kumpulan semasa menjalankan aktiviti inkuiri mengikut Model Pembelajaran 5E dalam modul.
Menurut beliau Modul AR-CSI yang dibangunkan bersama rakan penyelidik iaitu Dr. Yuhanis Mhd Bakri, Dr. Mohammad Syahrizal Ahmad, Dr. Jamilah Hamid serta Nor Syatilla Haerany Abd Ghani mendapat pengiktirafan apabila meraih dua pingat emas dalam pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa, iaitu 33rd International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2022) yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 26-27 Mei 2022 dan Invention, Innovation & Design on e-Learning (IIDEL) Competion sempena International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2022 pada 28 hingga 30 Jun 2022 di Universiti Putra Malaysia.

“Pelajar perlu berfikir secara kritis dan kreatif untuk menyelesaikan masalah atau senario sekali gus mendedahkan pelajar kepada Pembelajaran Abad-21 selaras dengan hasrat KPM untuk melahirkan modal insan berkualiti, berpengetahuan, kreatif dan berkeyakinan,” katanya.

Katanya, institusi pendidikan seperti sekolah menengah, kolej dan universiti yang menawarkan kursus kimia fizikal pun boleh mendapat manfaat daripada modul ini kerana topik ikatan kimia merupakan sukatan pelajaran yang asas dalam mata pelajaran atau program kimia. -SM

Baca : Kestabilan politik tingkatkan imej Malaysia di persada dunia

(Visited 321 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button